Lebih 30 pokok tumbang dalam ribut di Perlis

Adie Sufian Zulkefli
Julai 17, 2024 06:44 MYT
Keadaan sebuah kenderaan yang ditimpa pokok tumbang dalam kejadian ribut di Kangar pagi Rabu. -APM
KANGAR: Sebanyak 30 kes pokok tumbang dilaporkan berlaku di Perlis susulan kejadian ribut yang melanda negeri itu awal pagi Rabu.
Berdasarkan maklumat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Perlis, sehingga jam 10 pagi tadi, pihaknya menerima 30 panggilan laporan berlaku pokok tumbang membabitkan halangan kepada laluan kenderaan serta menimpa rumah dan kereta.
Pengarah APM Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, antara kawasan yang terjejas akibat pokok tumbang adalah di Beseri di Padang Besar, Arau, Kuala Perlis dan Bintong di Kangar.
“Sekitar jam 8 pagi berlaku ribut di kebanyakan kawasan di Perlis dan angin kencang yang berlaku menyebabkan banyak pokok tumbang serta menimpa premis dan kenderaan yang di parkir di beberapa kawasan di negeri itu.
“Bermula dari jam 8.23 pagi hingga 10 pagi tadi, kita sudah menggerakkan anggota kita di beberapa tempat seperti di Kampung Padang Malau di Beseri, Jalan Padang Nyu dan Kampung Behor Ganchor di Arau, Jalan Bintong di Kangar, Jalan Istana Raja Muda di Padang Besar, Jalan Seberang Ramai dan Jalan Kampung Wai di Kuala Perlis.
“Kita dapati kawasan ini terjejas akibat pokok tumbang selepas dilanda ribut awal pagi ini dan kerja memotong dan membersihkan kawasan masih terus dijalankan oleh kita,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Katanya, seramai 24 anggota dan tiga pegawai APM dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kangar, Arau, Padang Besar dan Kuala Perlis dikerah untuk melaksanakan kerja berkenaan.
Kejadian ribut bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa.
Operasi penebangan dan mengalihkan pokok yang merentangi jalan masih dijalankan.
#Pokok tumbang #ribut #APM #menimpa rumah dan kereta