Lebih 30 peratus doktor dibuli - MMA

Sinar Harian
Oktober 15, 2023 16:32 MYT
Data tersebut berdasarkan tinjauan kaji selidik melibatkan 728 pengamal perubatan sektor awam dan swasta bermula pada 15 September hingga 1 Oktober 2023. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 hingga 40 peratus pengamal perubatan melaporkan pernah mengalami beberapa bentuk buli.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz berkata, data tersebut berdasarkan tinjauan kaji selidik melibatkan 728 pengamal perubatan sektor awam dan swasta bermula pada 15 September hingga 1 Oktober 2023.
“Tinjauan itu juga mendapati bahawa mangsa lebih cenderung untuk tidak memfailkan aduan kerana takut atau tidak pasti bagaimana untuk melakukannya. Walaupun begitu, tiada tindakan yang diambil meskipun mereka telah membuat aduan.
“Sebanyak 253 kes buli telah dilaporkan dalam kaji selidik itu dengan yang tertinggi dilaporkan di Sarawak iaitu 15 kes, Selangor (9) dan Perak (8).
“Bagaimanapun 197 adalah dari negeri yang tidak diketahui. Berdasarkan tinjauan itu, Sabah dan Melaka tidak mempunyai kes buli yang disahkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dr Azizan berkata, perbuatan buli memberi kesan kepada pengamal perubatan dalam semua peringkat termasuk 168 pegawai manakala 50 peratus daripada doktor pelatih dan pakar yang mengambil bahagian dalam kaji selidik, turut melaporkan perkara yang sama.
“Seramai 728 doktor Malaysia daripada sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta mengambil bahagian dalam tinjauan. “Daripada jumlah itu, 476 adalah pegawai perubatan, pakar atau perunding (207) dan doktor pelatih (46),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kaji selidik turut mendapati bahawa pengamal perubatan junior antara yang paling ramai bekerja lebih masa.
Tambahnya, sebanyak 60 peratus doktor muda dengan pengalaman kurang dua tahun bekerja lebih masa setiap hari.
“Walaupun hanya 20 peratus daripada doktor pengalaman melebihi 2 tahun, bekerja lebih masa setiap hari manakala 30 hingga 40 peratus lagi masih bekerja lebih masa sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.
"Dari segi kekerapan doktor Malaysia bekerja lebih masa, 35 peratus doktor bekerja lebih masa selama satu hingga dua kali seminggu," jelasnya.
Sementara itu, Dr Azizan berkata, 32 peratus doktor bekerja lebih masa tiga hingga empat kali seminggu, 24 peratus bagi setiap hari manakala sembilan peratus lagi tidak pernah.
“Negeri yang tiada laporan buli tidak bermakna tiada sebarang kes. Dengan kadar perletakan jawatan dalam kalangan doktor kontrak Malaysia meningkat sebanyak 1,131 peratus dalam tempoh enam tahun lepas iaitu dari 2017 hingga 2022 seperti yang dilaporkan dalam media,” ujarnya. - Sinar Harian
#MMA #buli doktor #kes buli #laporan polis
;