Lebih 30,000 PATI ditahan setakat 3 Sept

Bernama
September 4, 2018 10:42 MYT
Mustafar (kanan) dan Mohd Azis ketika menyertai Op Mega yang dijalankan di kawasan Sepanggar dan Kota Kinabalu sejak 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi. Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan 30,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak 1 Jan hingga semalam, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali.
Beliau berkata lebih 1,000 majikan turut ditahan sepanjang tempoh itu kerana menggaji atau melindungi PATI.
"Ia adalah hasil daripada lebih 10,000 operasi yang dijalankan di seluruh negara dan lebih 100,000 warga asing telah diperiksa.
"Kita (Imigresen) beri peluang kepada mereka yang berstatus PATI supaya menyerah diri secara sukarela melalui program 3+1 yang tamat 30 Ogos lepas, selepas itu tindakan tegas akan diambil.
"Selain itu, kita telah melaksanakan program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau dikenali sebagai Program Rehiring yang tamat 30 Jun lepas, namun kita mendapati ramai lagi yang tidak mematuhinya," katanya.
Mustafar ditemui selepas Op Mega di sini awal pagi tadi yang turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.
BACA: Jumlah sebenar pendatang tanpa izin di Sabah sukar diketahui
Sementara itu, mengulas mengenai operasi yang dilaksanakan di kawasan Sepanggar dan Kota Kinabalu sejak 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi itu, beliau berkata seramai 58 PATI berjaya ditahan.
"Operasi ini kita akan teruskan di seluruh negara. Kita mahu negara kita bebas dengan masalah PATI," tambahnya.
-- BERNAMA
#Imigresen #izin #Kota Kinabalu #Malaysia #Mohd Azis Jamman #Mustafar Ali #Op Mega #operasi #pati #pendatang #serah diri #sukarela #warga asing
;