Lebih 30,000 meriahkan konsert rakyat sempena 60 Tahun Sarawak Merdeka

Bernama
Julai 23, 2023 10:30 MYT
Peserta mengibarkan bendera gergasi Sarawak pada Perhimpunan dan Perarakan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka, Kuching, 22 Julai 2023. -- fotoBERNAMA
KUCHING: Keadaan cuaca baik di bandar raya ini telah menarik lebih 30,000 pengunjung membanjiri Padang Merdeka bagi memeriahkan Konsert Rakyat sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka, malam tadi.
Mengetengahkan barisan artis tempatan dan kumpulan popular dari negara jiran, Ungu, kesemua persembahan konsert yang berlangsung selama empat jam bermula 8 malam itu merentasi muzik dari era 90-an sehingga kini.
Penonton yang terdiri daripada golongan muda dan tua, tanpa mengira perbezaan latar belakang turut dihidangkan dengan dua pertunjukan bunga api yang memukau sepanjang konsert itu.
Persembahan di pentas Padang Merdeka itu dimulakan dengan artis Sarawak iaitu Carrie Geres dan Ramles Walter, diikuti band Floor 88, kumpulan Dolla, Joe Flizzow dan Datuk Awie, masing-masing mendendangkan tiga hingga empat lagu dengan penuh bertenaga.
Kumpulan Ungu pula menghadiahkan penonton dengan 12 lagu hits mereka antaranya 'Demi Waktu', 'Tercipta Untukku', 'Kekasih Gelapku', 'I Need You' dan 'Andai Ku Tahu'.
Melihat kepada kehangatan Konsert Rakyat, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Koporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata Sarawak berpotensi untuk menganjurkan lagi konsert sedemikian dan membawa masuk artis luar negara pada masa akan datang.
"Kita menyaksikan pentas dan penonton terbesar, jadi kalau begini sambutannya, mungkin kita boleh buat sekali lagi. Kita jumpa lagi dalam masa terdekat dengan konsert yang mungkin lebih hebat lagi," katanya ketika berucap di penghujung majlis.
-- BERNAMA
#konsert #Sarawak #60 tahun Sarawak merdeka #Abdullah Saidol
;