Lebih 30,000 kes kemalangan jalan raya libatkan pencarum Perkeso pada 2022
Bernama
April 20, 2023 22:57 MYT
April 20, 2023 22:57 MYT
SHAH ALAM: Kira-kira 32,976 kes kemalangan perjalanan jalan raya direkodkan seluruh negara tahun lepas melibatkan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan 651 kes adalah kemalangan maut.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso John Riba Marin berkata sebanyak 45 peratus daripada jumlah yang maut akibat nahas jalan raya itu adalah mereka yang berumur 35 tahun ke bawah.
"Ini bermakna secara puratanya, setiap hari dua pencarum maut berpunca daripada kemalangan semasa perjalanan atau berulang alik dari atau ke tempat kerja," katanya ketika membacakan ucapan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, hari ini.
Beliau berucap dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2023 peringkat Kontinjen Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini yang dilancarkan oleh Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.
Sementara itu, Hussein dalam sidang media berkata Polis Selangor akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang didapati bermain mercun dan bunga api melebihi jam 12 tengah malam di seluruh negeri ini.
Jelas beliau, pihaknya akan memperketatkan kawalan dan pemantauan di semua lokasi terutama kawasan perumahan di semua daerah negeri ini agar orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Op Selamat 20 yang dilaksanakan selama tujuh hari bermula hari ini, Hussein berkata pihaknya akan menumpukan kepada 62 lokasi titik panas berlaku kesesakan dan enam lokasi hitam kerap berlaku kemalangan di Selangor khususnya di kawasan pinggir bandar.
-- BERNAMA