Lebih 3 individu serang kenderaan EMRS - Saksi

Hilmi Malik
Februari 11, 2019 17:37 MYT
Shahrill berkata ketika itu Muhammad Adib (gambar) masih berada bersamanya dan sempat berkomunikasi saat kenderaan itu diserang. -Gambar fail
Lebih tiga individu dipercayai terlibat menyerang kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November lalu.
Saksi ketiga kejadian Ahmad Shahrill Othman, 36, yang merupakan pegawai medik (EMRS) menceritakan situasi apabila kenderaan dinaikinya diserang.
"Lebih tiga lelaki memakai helmet datang menyerbu dan menyerang kenderaan EMRS serta menggesa pemandu untuk membuka pintu kenderaan," katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah pada prosiding inkues kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Menyentuh mengenai keberadaan Muhammad Adib, Shahrill berkata ketika itu Allahyarham masih berada bersamanya dan sempat berkomunikasi saat kenderaan itu diserang.
"Arwah berada di sebelah saya saat kenderaan diserang dan kami masih berkomunikasi dan melihat rakan kami (Hazim) yang sedang mengeluarkan hos daripada jentera FRD.
"Ketika kenderaan dirempuh, arwah masih lagi berada di dalam van," katanya lagi.
Terdahulu wujud dakwaan Allahyarham Muhammad Adib telah dilanggar jentera FRD ketika kenderaan itu sedang berundur.
Prosiding inkues hari pertama pada Isnin dihadiri tiga saksi utama yang terdiri daripada pihak polis serta dua anggota bomba.
Prosiding hari pertama tamat kira-kira jam 5 petang dan akan bersambung semula esok.
Pada 27 November lalu, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu pada jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN).
#Ahmad Shahrill Othman #EMRS #IJN #jentera bomba diserang #kekecohan #kuil sri maha mariamman #Muhammad Adib #rusuhan #Subang Jaya #Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan
;