Lebih 3,000 penuntut IPTA terjejas banjir - Zambry

Bernama
November 29, 2024 19:22 MYT
Kelantan dan Terengganu sedang berhadapan dengan situasi banjir yang buruk. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Sebanyak 3,029 penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) terjejas akibat banjir setakat ini dengan 481 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kampus manakala 42 lagi dipindahkan ke PPS luar.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata pelajar yang terkesan khususnya di Pantai Timur melibatkan Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan serta politeknik.
"Saya telah arahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zaini Ujang untuk berjumpa sukarelawan institusi pendidikan tinggi (IPT) agar siap siaga (hadapi banjir)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penutup Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.
Zambry berkata bantuan KPT akan diberikan kepada pelajar yang terjejas termasuk bakul makanan, pengangkutan, hotline serta kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi memastikan keselamatan mangsa.
Nadma hari ini dilaporkan telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) bagi menyelaras dan memantau operasi menyelamat dan pengurusan mangsa banjir di lapangan memandangkan jumlah mangsa telah meningkat secara mendadak di Kelantan.
Menurut Nadma, ketika ini Kelantan dan Terengganu sedang berhadapan dengan situasi banjir yang buruk dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan sangat lebat berterusan (bahaya) hingga esok berkemungkinan boleh menyebabkan banjir lebih besar.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir di semua peringkat dipertingkatkan ke tahap tertinggi memandangkan bencana itu dijangka lebih teruk berbanding 2014.
-- BERNAMA
#banjir2024 #Bah Kuning #pelajar IPTA #monsun timur laut
;