Lebih 3,000 pengunjung meriahkan Pesta Budaya Nusantara@Ipoh
Aida Aziz
Jun 11, 2023 10:55 MYT
Jun 11, 2023 10:55 MYT
IPOH: Lebih 3,000 pengunjung memeriahkan Program Pesta Budaya Nusantara@Ipoh 2023 dan Pameran Kereta Klasik sempena ulang tahun bandar raya Ipoh ke-35 di Stadium Indera Mulia di sini, malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Loh Sze Yee berkata, penganjuran itu adalah usaha yang tepat dalam menarik lebih ramai pengunjung ke sini, selari dengan Tahun Melawat Ipoh 2023.
Tambahnya, ia juga merupakan platform terbaik bagi para penggiat seni mempromosi kebudayaan masing-masing.
"Syabas dan tahniah kepada Datuk Bandar dan urusetia program yang berjaya menganjurkan program ini sekali lagi.
"Saya difahamkan ini adalah kali kedua penganjurannya dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
"Tahun lalu ia diadakan pada skala yang lebih kecil yang mana penyertaan persembahan hanya melibatkan beberapa pasukan seni dari dalam negara.
"Namun kali ini, kita turut mendapat penyertaan rakan bandar persahabatan dari luar negara iaitu Medan, Indonesia dan juga Nanning, China," katanya ketika merasmikan program tersebut.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.
Menurut Loh, bandar raya Nanning dan Medan merupakan bandar raya persahabatan yang telah terjalin hubungannya dengan Ipoh sejak sekian lama.
"Jumaat lalu, Ipoh dan Nanning memperbaharui perjanjian persefahaman (MoU) hubungan dua hala antara kedua-dua bandar bagi mengembangkan lagi aktiviti, demi faedah kedua-dua belah pihak.
"Manakala, hubungan dengan Medan diteruskan dengan memberi fokus kepada pertukaran aktiviti budaya dan pelancongan termasuk pelancongan kesihatan," katanya.
Objektif MBI menganjurkan program tersebut adalah bagi memeriahkan sambutan Tahun Melawat Ipoh 2023 melalui program kesenian dan kebudayaan masyarakat.
Ia melibatkan gabungan persembahan dari Nanning dan Medan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
Antara aktiviti menarik di karnival ini termasuk jualan makanan dan minuman viral untuk pengunjung yang bermula dari jam 10 pagi hingga 11 malam, mulai 8 Jun hingga 12 Jun.
Selain itu, terdapat permainan taman tema kanak-kanak, karusel, rumah hantu dan petting zoo.
Terdapat juga pameran kereta klasik melibatkan 20 jenis kereta jenama antarabangsa.