Lebih 25 tahun tidak tidur lena apabila hujan lebat - Mangsa banjir
Shuhada Abdul Kadir
November 20, 2020 00:21 MYT
November 20, 2020 00:21 MYT
JASIN: “Sudah lebih 25 tahun, kami sekeluarga tidak dapat tidur lena apabila hujan lebat di tengah malam.”
Itu antara keperitan yang dikongsi seorang mangsa banjir Noraliza Isa, 42 tahun selepas kediamannya di Kampung Tanjung Laboh, Jasin dinaiki air hampir satu meter akibat hujan lebat berterusan dan limpahan air sungai.
Berkongsi cerita, Noraliza yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata, berpindah ke pusat pemindahan sudah menjadi ‘rutin’ buat dirinya sekeluarga apabila setiap kali menjelang musim tengkujuh.
“Apabila tiba musim hujan, kami akan cuba pindahkan barang-barang kelengkapan rumah ke tempat yang lebih tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, ujarnya bencana kali ini antara yang terburuk selepas pernah mengalami kejadian sama pada tahun 2016 lalu sehingga menenggelamkan hampir keseluruhan rumahnya.
Kesedihan sama turut dikongsi warga emas Halimah Md Salleh, 62 tahun yang menetap di Kampung Serombong, Tehel.
Katanya, dia mula menyedari kediamannya dimasuki air kira-kira jam 2.30 pagi Jumaat sebelum berpindah ke PPS Tehel pada tengah hari.
Lebih menyedihkan, warga emas yang bekerja di sebuah kilang di Ayer Keroh itu berkata, dia baharu sahaja berdepan situasi banjir itu dua minggu lalu dan mengakui belum sempat membersihkan keseluruhan rumahnya.
Katanya, walaupun sedih mengenangkan terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit, namun dia reda dengan ketentuan.
“Mak cik balik tengok rumah kering lagi, sekali pukul 2.30 pagi air dah penuh air. Baru bulan lepas banjir, naikkan perkakas, belum habis cuci kain baju semua tenggelam lagi,” katanya.
Mereka antara 243 mangsa daripada 61 buah keluarga yang terjejas banjir di Melaka dan dipindahkan ke PPS di SK Tehel, Jasin.
#banjir
#mangsa banjir
#pusat pemindahan
#warga emas
#Melaka
#tidak tidur
#Kampung Tanjung Laboh
#Noraliza Isa
#Halimah Md Salleh