Lebih 25 peratus miskin tegar tidak berminat program menjana pendapatan - Rafizi
Ridauddin Daud
November 16, 2023 13:31 MYT
November 16, 2023 13:31 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kira-kira 25 hingga 30 peratus golongan miskin tegar menolak tawaran menyertai program basmi kemiskinan anjuran kerajaan.
Menurutnya, mereka lebih berminat untuk terus menerima bantuan tunai termasuk melalui sistem e-Kasih dan kurang berminat terhadap program menjana pendapatan.
Jelasnya, itu antara cabaran kementeriannya terutama dalam melaksanakan pemutihan dalam sistem tersebut.
“Ada cabaran kerana peraturan sekarang, untuk mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan, mesti ada nama dalam e-Kasih.
“Sudah tentu senarai dalam e-Kasih yang ada daripada 2007, akan ada yang tidak mahu keluar.
“Begitu juga pendekatan sebelum ini…apabila kita memprofilkan seberapa banyak keluarga dalam e-Kasih yang dikira miskin tegar ini, untuk dipadankan dengan program pembasmian kemiskinan…secara puratanya 25 ke 30 peratus menolak untuk terlibat dalam apa-apa program.
“Ini kerana bagi mereka, bagi saja bantuan tunai…yang melibatkan menjana pendapatan ini, mereka tidak berminat,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu di Dewan Rakyat pada Khamis, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN - Rantau Panjang) berhubung pemutihan senarai penerima di dalam sistem e-Kasih.