Lebih 240,000 PATI daftar Program Rekalibrasi sejak Disember 2020
Ridauddin Daud
Julai 8, 2021 11:06 MYT
Julai 8, 2021 11:06 MYT
SERAMAI 248,083 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mendaftar dalam Program Rekalibrasi Pulang dan Rekalibrasi Tenaga Kerja sejak ia mula dilancarkan pada Disember 2020.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, 98,194 pendatang asing tanpa izin (PATI) berdaftar dalam program Rekalibrasi Pulang.
Manakala, seramai 6,822 majikan dan 149,889 PATI telah mendaftar dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
"Sehubungan dengan itu, JIM telah melaksanakan penambahbaikan kepada program ini dengan membuka kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia).
"Ia bagi memudahkan semua PATI yang telah melengkapkan dokumen masing-masing hadir terus ke kaunter ini dan seterusnya pulang ke negara masing-masing.
Walau bagaimanapun, semua syarat program yang telah ditetapkan sebelum ini adalah masih terpakai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Kaunter Program Rekalibrasi PATI di klia yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said di sini pada Khamis.
Tambahnya, setiap PATI yang ingin pulang menerusi klia perlu melepasi saringan suhu badan di Pintu 2, 3, 5 dan 6 Balai Berlepas sebelum dibenarkan datang ke kaunter berkenaan yang terletak bersebelahan Balai Ketibaan Domestik.
"Perkhidmatan Kaunter Rekalibrasi Pulang yang beroperasi 24 jam sehari mulai 8 Julai 2021 adalah merupakan satu 'game changer' yang meningkatkan tahap kecekapan JIM dalam melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang.
"Ia juga memudahkan PATI yang ingin pulang ke negara asal tanpa perlu hadir ke Pejabat Imigresen terlebih dahulu.
"Pelaksanaan Kaunter khas ini juga akan dipanjangkan ke KLIA2 dan pintu-pintu masuk antarabangsa yang lain," ujarnya.
Justeru, beliau mengingatkan semua majikan dan PATI supaya tidak menunggu sehingga saat akhir dan tidak menggunakan khidmat orang tengah atau ejen bagi urusan program tersebut.