Lebih 24 jam lolos, tahanan Rohingya dijangka serah diri akibat kelaparan
Bernama
April 21, 2022 05:30 MYT
April 21, 2022 05:30 MYT
BANDAR BAHARU: Polis tidak menolak kemungkinan tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di sini awal pagi Rabu akan menyerah diri dalam masa terdekat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Datuk G. Suresh Kumar berkata ini kerana tahanan yang menghilang lebih dari 24 jam itu tidak mempunyai bekalan makanan dan pakaian.
"Mereka (tahanan) ini lari sehelai sepinggang...jadi berapa lama mereka boleh bertahan, ditambah dalam keadaan bulan puasa ini. Ada kemungkinan besar mereka (tahanan) akan menyerah diri," katanya kepada pemberita selepas meninjau Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada Khamis.
Suresh Kumar berkata hasil siasatan yang dijalankan ke atas lebih 200 tahanan Rohingya yang telah berjaya ditahan semula mendapati tiada sebarang unsur paksaan untuk mereka meloloskan diri dari depot berkenaan.
"Pemeriksaan pada hari kejadian mendapati terdapat kira-kira 100 orang tahanan Rohingya kekal berada dalam depot," katanya.
Suresh Kumar berkata depot berkenaan kini dijadikan pusat siasatan bagi menyiasat kes tersebut.
Dalam kejadian awal pagi Rabu, 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dengan enam daripadanya maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Jawi, Nibong Tebal.
-- BERNAMA