Lebih 23,000 warga asing, PATI diusir tahun ini

Bernama
Mei 31, 2017 07:27 MYT
Warga Indonesia dan Bangladesh adalah yang tertinggi diusir iaitu masing-masing 6,849 orang dan 4,020 orang. - Gambar fail
Lebih 23,000 warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan pelbagai kesalahan diusir ke negara asal dalam tempoh 1 Jan hingga 29 Mei tahun ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Beliau berkata bilangan itu termasuk banduan asing yang telah tamat menjalani hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukan.
Daripada jumlah itu, warga Indonesia dan Bangladesh adalah yang tertinggi diusir iaitu masing-masing 6,849 orang dan 4,020 orang, katanya.
"Dalam hal undang-undang kami bertegas tanpa mengira kecil atau besar kesalahan yang dilakukan," katanya dalam sidang media selepas pertemuan bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di ibu pejabat jabatan itu di sini pada Rabu.
Ia termasuklah kesalahan ''paling ringan'' seperti melanggar syarat pas lawatan dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan sehingga melakukan perbuatan jenayah yang tertakluk di bawah bidang kuasa dan tindakan pihak polis seperti meragut, menculik dan membunuh, katanya.
Dari segi statistik,Mustafar berkata kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan rumah urut merupakan antara kes jenayah tertinggi melibatkan warga asing.
Menurutnya, kebanyakan kegiatan tidak bermoral itu berlindung di sebalik perniagaan spa dan refleksologi.
"Kami secara berterusan melakukan operasi pembanterasan kerana penglibatan PATI dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran adalah satu kegiatan yang tidak dibenarkan di negara ini," katanya.
Mengenai pertemuan kira-kira dua jam bersama MCPF yang turut disertai Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye, Mustafar berkata ia digunakan bagi memberi kefahaman dan menerangkan tentang kesalahan jenayah yang dilakukan pendatang asing khususnya PATI.
Beliau berkata Imigresen dan MCPF juga akan menjalin kerjasama strategik dalam mengenal pasti langkah terbaik yang boleh diambil dalam menangani masalah jenayah yang berkaitan dengan warga asing.
Sementara itu, Lee berkata pertemuan itu membuka lembaran baharu kepada MCPF kerana sebagai badan yang berperanan menyedarkan masyarakat tentang pencegahan jenayah, input yang diperoleh dapat digunakan bagi memberi fakta sebenar dan menepis persepsi negatif orang ramai bahawa kebanyakan jenayah dilakukan PATI.
-- BERNAMA
#banduan #Bangladesh #Indonesia #MCPF #Mustafar Ali #pati #pendatang asing tanpa izin #usir #warga asing
;