Lebih 23,000 baucar buku berjaya ditebus murid menerusi aplikasi DELIMa - KPM
Bernama
Jun 2, 2024 10:50 MYT
Jun 2, 2024 10:50 MYT
PUTRAJAYA: Lebih 23,000 baucar buku berjaya ditebus oleh murid dan pelajar menggunakan aplikasi DELIMa dan Kota Buku Digital sehingga kini, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
KPM dalam kenyataan berkata tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku untuk murid dan pelajar di institusi pendidikan di bawah KPM adalah dari 31 Mei hingga 31 Disember ini.
"Justeru murid dan pelajar dinasihati untuk tidak bimbang kerana mereka mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk menebus baucar buku masing-masing dan menggunakannya bagi mendapatkan bahan bacaan yang terbaik," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
KPM berkata inisiatif baucar buku untuk murid dan pelajar di semua institusi bawah KPM yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan sejak ia mula dibuka pada 31 Mei lepas.
Inisiatif baucar buku itu dapat memberi manfaat kepada semua murid dan pelajar selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang berilmu, berfikiran kritis dan berwawasan.
Pada 30 Mei lepas, perdana menteri mengumumkan pemberian baucar buku RM50 dan RM100 kepada golongan pelajar membabitkan murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta Institut Pendidikan Guru.
-- BERNAMA