Lebih 22 juta populasi dewasa di Malaysia lengkap divaksinasi hingga semalam

Bernama
Disember 24, 2021 11:37 MYT
Sejumlah 176,463 dos vaksin diberikan semalam, melibatkan 167,684 dos penggalak dengan 5,275 lengkap dos dan 3,504 dos pertama. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 22,831,577 individu atau 97.5 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19, setakat 11.59 malam tadi (23 Dis).
Kementerian Kesihatan menerusi laman COVIDNOW memaklumkan sejumlah 98.8 peratus atau 23,132,540 individu dewasa di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sementara itu, 87.1 peratus atau 2,742,885 individu remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan vaksinasi mereka dan 2,838,825 individu atau 90.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan sejumlah 176,463 dos vaksin telah diberikan yang melibatkan 167,684 dos penggalak dengan 5,275 lengkap dos dan 3,504 dos pertama.
Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 meningkat kepada 56,576,586 dengan 5,226,764 daripadanya adalah dos penggalak.
-- BERNAMA
#COVID-19 #suntikan vaksin #populasi dewasa #populasi remaja
;