Lebih 200 penduduk terjejas banjir kilat dan air pasang besar

Bernama
November 14, 2016 07:59 MYT
Banjir kilat di daerah Larut, Matang dan Selama adalah disebabkan hujan lebat tanpa henti selama kira-kira tiga jam petang Isnin. - Gambar fail
Seramai 222 penduduk terdiri daripada 74 keluarga di dua daerah sekitar Perak terjejas akibat banjir kilat dan fenomena air laut pasang besar setakat pukul 11.22 malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak daripada jumlah 222 itu, seramai 198 ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir melibatkan dua daerah.
Kenyataan sekretariat itu menyebut di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), dua pusat pemindahan dibuka iaitu Dewan Orang Ramai Simpang Halt yang menempatkan 78 orang, manakala 22 orang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang Jaya.
Banjir kilat di daerah LMS adalah disebabkan hujan lebat tanpa henti selama kira-kira tiga jam petang semalam.
Dalam pada itu, seramai 89 penduduk terjejas akibat banjir kesan daripada fenomena air pasang besar di daerah Manjung dan kini semuanya ditempatkan sementara di Dewan Inderawati, Beruas.
Sementara itu, di daerah Kuala Kangsar jumlah penduduk terjejas adalah seramai 33 orang, namun tiada pusat pemindahan dibuka. -- BERNAMA
#air pasang besar #banjir kilat #hujan lebat #Larut #matang #Perak #pusat pemindahan #Selama
;