Lebih 200 delegasi dari 23 negara sertai program bina semula Gaza

Bernama
Februari 8, 2024 14:00 MYT
Program tiga hari yang dijadual berlangsung bermula Sabtu ini (10 Feb) di Shah Alam, Selangor akan disertai wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil dari kedutaan negara terlibat.
SUNGAI PETANI: Lebih 200 delegasi dari 23 negara akan menyertai "International Post War Gaza Rebuilding Programme" yang bertujuan untuk membincangkan hala tuju pembangunan semula pascaperang di kawasan bergolak itu.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata program tiga hari yang dijadual berlangsung bermula Sabtu ini (10 Feb) di Shah Alam, Selangor akan disertai wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil dari kedutaan negara terlibat.
Beliau berkata wakil yang telah mengesahkan penyertaan antaranya dari Rusia, United Kingdom, New Zealand, Pakistan, Indonesia, Lubnan, Singapura, Thailand, Kemboja serta negara Timur Tengah.
"Persidangan ini akan mendengar maklumat terkini tentang apa yang berlaku di Gaza, Palestin dan apakah keutamaan bantuan yang perlu disalurkan pascaperang. Kesemua delegasi akan berpakat dan berbincang bagaimana nak laksana (pembangunan semula Gaza).
"Selepas persidangan ini, kami akan tetapkan negara mana tumpu kepada kesihatan, prasarana dan pendidikan. Kami juga nak selaraskan dengan pihak berkuasa Gaza dan bergabung dengan badan-badan antarabangsa yang lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Azmi berkata inisiatif tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Mereka sangat bersetuju untuk Malaysia jadi peneraju untuk rancang bagaimana nak membantu Palestin selepas perang," katanya.
Beliau berkata sebanyak US$10 bilion (kira-kira RM47.6 bilion) diperlukan untuk pembangunan prasarana dan berharap rakyat di negara ini akan terus menghulurkan sumbangan bagi membantu semula pembangunan Gaza.
Mohd Azmi berkata berkata setakat 29 Jan lepas, sebanyak 26,737 kematian dengan 11,000 daripadanya adalah kanak-kanak direkodkan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak peperangan meletus pada 7 Okt tahun lepas.
-- BERNAMA
#MAPIM #program bina semula Gaza #Malaysia #kekejaman israel
;