Lebih 200,000 tiket KTMB terjual sempena Tahun Baharu Cina
Bernama
Januari 20, 2025 17:27 MYT
Januari 20, 2025 17:27 MYT
SEREMBAN: Sebanyak 210,000 daripada 270,000 tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang disediakan sempena perayaan Tahun Baharu Cina terjual setakat ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata sebagai inisiatif tambahan, pihak KTMB menambah dua trip dalam sehari bagi perkhidmatan kereta api lokomotif untuk destinasi Kuala Lumpur - Butterworth, Pulau Pinang sempena cuti perayaan berkenaan.
"Lebihan tiket itu kerana tidak ramai membeli tiket pergi balik, kebanyakan tiket menghala pulang ke kampung sudah penuh, umpamanya Kuala Lumpur ke Ipoh (Perak) dan KL-Butterworth (Pulau Pinang)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tren ETS Class 93, Projek Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) kepada Kementerian Pengangkutan di Depoh EMU KTMB di sini hari ini.
Mengenai program hari ini, Loke berkata kementerian menerima sebuah tren Elektrik Train Service (ETS) yang telah siap diselengara menerusi projek MRO sekali gus menjadi sebagai satu daripada tren tambahan yang bakal beroperasi sempena Tahun Baharu Cina dan seterusnya.
"Kita ada kontrak dengan Syarikat Railtech, mereka diberi kontrak menyelenggara MRO tahap empat untuk dua jenis tren iaitu 35 set KTM komuter dan 10 set tren ETS Class 93 ... setakat ini termasuk set hari ini, keseluruhan kita ada enam set telah diselenggara dengan baik dan dikembalikan untuk dioperasikan semula oleh KTMB," katanya.
-- BERNAMA