Lebih 200,000 pekerja asing mohon untuk bekerja semula - Hamzah
Hasimi Muhamad
November 2, 2021 10:52 MYT
November 2, 2021 10:52 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 212,926 pekerja asing telah memohon untuk bekerja semula melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sejak ia dilaksanakan tahun lepas.
Dalam masa sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sebanyak 11,751 majikan turut memohon dalam program tersebut untuk mendapatkan khidmat tenaga kerja asing.
Menurut Hamzah, kementeriannya telah membuat semakan mengenai permohonan-permohonan tersebut meliputi beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta peladangan.
"Ada beberapa sektor khusus ingin mereka mendaftarkan diri iaitu melalui perkilangan sahaja sebanyak 65,484 telah berdaftar untuk bekerja semula, pembinaan (122,075) manakala pertanian (12,003) dan peladangan (7,176). Ini adalah mereka yang sedang telah berdaftar dan berminat untuk mana-mana majikan mengambil bekerja semula.
"Selain itu, melalui Program Rekalibrasi Pulang PATI pula, sebanyak 147,705 (mendaftar untuk pulang), dengan kutipan wang kompaun berjumlah RM71,368,700.
"Ini membuktikan program ini mencapai kejayaan buat setakat ini," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Terdahulu, Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) meminta menteri menyatakan sektor mana yang dibenar menerima kemasukan pekerja asing baharu, selain jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor serta berapa lama kelonggaran ini akan berlangsung.
Menjawab pertanyaan tersebut, Hamzah (Bersatu-Larut) berkata, kerajaan bersetuju membawa masuk kira-kira 32,000 tenaga buruh asing ke Malaysia untuk sektor perladangan secara pengecualian khas.
Jelas beliau, keputusan itu dibuat dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lalu selepas bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing ke Malaysia bagi sektor yang dibenarkan.
"SOP yang sama akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara kes mengikut kes (case-by-case basis) oleh Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing," ujarnya.
Dalam masa yang sama, Hamzah berkata, setakat ini kerajaan masih meneliti jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor yang dibenarkan.
Katanya, kementerian dan agensi berkaitan sedang melaksanakan analisis terperinci mengenai perkara tersebut bagi memastikan hala tujuk strategik dalam mencapai keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan.