Lebih 20 peniaga hilang punca pendapatan setelah premis niaga terbakar
Sinar Harian
November 14, 2022 10:30 MYT
November 14, 2022 10:30 MYT
SUNGAI PETANI: Lebih 20 peniaga yang menyewa di Stesen Bas Lama Sungai Petani di sini hilang punca pendapatan sejak premis itu terbakar tiga minggu lalu.
Pengerusi Peniaga Kecil Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Jalan Petri, Hamidun Yusuf, 61, berkata, kebanyakan peniaga bergantung harap sepenuhnya kepada perniagaan mereka sebagai punca pendapatan utama keluarga.
Menurutnya, kebakaran menyebabkan deretan tingkat atas premis itu musnah selain menjejaskan lot kedai tingkat bawah di mana kesemua mereka tidak dibenarkan beroperasi atas faktor keselamatan.
"Bagaimanapun, kami memohon agar pihak berkaitan memberi perhatian atau menawarkan tapak berniaga lain agar boleh beroperasi seperti biasa," katanya.
Menurut Hamidun, kejadian yang berlaku pada jam kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan peniaga bukan sahaja menanggung kerugian besar akibat bekalan stok dan peralatan masih di dalam, namun kini hilang pendapatan kerana tidak dapat lagi berniaga.
"Kami tertunggu-tunggu, apa langkah seterusnya daripada kerajaan, adakah nak baiki atau macam mana?
Selain itu, peniaga aksesori pakaian beruniform, Azam Abdul Manaf, 42, berkata, mangsa mengucapkan terima kasih kepada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir menyampaikan sumbangan namun apa yang lebih penting, peniaga mahu berniaga semula.
Peniaga emas dan permata, Shaharudin Azmi, 55, berkata, proses baik pulih sudah pasti mengambil masa panjang, berikutan itu, mereka merayu agar diberikan ruang berniaga di kawasan lain untuk sementara waktu.
"Sehingga kini kami tidak tahu apa nasib kami," katanya.
Sementara itu, tukang jahit, Rosmiza Murad, 53, berkata, perasaannya sangat sedih mengenangkan lot kedai yang disewa sejak dua tahun lalu itu kini musnah.
"Habis kain pelanggan seperti uniform seragam polis dan tentera, begitu juga dengan lain-lain semuanya tidak dapat diselamatkan.
"Pelanggan ada yang minta ganti rugi, bagaimana saya nak bayar sedangkan empat buah mesin jahit saya pun ada di situ, saya dah rugi, pendapatan pula tiada,
"Saya menjaga ibu yang uzur serta suami yang akan menjalani pembedahan tidak lama lagi. Saya runsing, minta tolong mana-mana pihak yang boleh bantu dapatkan kami tapak niaga baharu sementara bangunan ini dibaiki," jelasnya.
Dalam kebakaran 23 Oktober lalu, sebanyak 13 kedai perniagaan melibatkan premis gunting rambut, kedai jahitan, pusat kecantikan, kedai buku di tingkat satu bangunan berstruktur papan yang dibina pada tahun 1970 itu, musnah.
Turut terkesan ialah deretan kedai yang terletak di bahagian bawah apabila turut mengalami kerosakan dan tidak selamat digunakan akibat strukturnya dibina menggunakan kayu serta telah usang. -Sinar Harian