Lebih 20 murid hampir lemas, bot bawa kanak-kanak sekolah karam
Radhi Muslim
September 10, 2020 10:31 MYT
September 10, 2020 10:31 MYT
Lebih 20 murid hampir lemas pada Selasa apabila bot dinaiki mereka tiba-tiba karam di Sungai Labuk, dekat Kampung Tembidong-Bidong di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, semua mangsa berusia dalam lingkungan enam hingga 12 tahun, sedang dalam perjalanan dari Kampung Tembidong-Bidong ke Sekolah Kebangsaan Perancangan.
Ketika dalam perjalanan, bot dinaiki murid-murid itu dipercayai tiba-tiba tenggelam.
Keadaan jadi kelam-kabut apabila sebahagian murid itu tidak tahu berenang.
Menurut seorang mangsa, Siti Nurashurah Alin Zurani, dia duduk di bahagian depan bot dan tiba-tiba bot mereka dimasuki air lalu tenggelam.
“Perahu itu dimasuki air. Nasib baik saya pandai berenang. Saya pergi berenang dekat perahu yang karam itu untuk berpegang. Selepas itu, ada yang tolong selamatkan kami.
“Dalam lima minit kami terpaksa berpegang di perahu. Semua beg hanyut, tetapi ada yang dapat ditemui semula, ada yang tidak,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di kampung itu pada Rabu.
Sementara itu, bapa mangsa berkata, dua anaknya yang terlibat dengan insiden itu kini trauma dan takut menaiki bot ke sekolah.
“Semasa kejadian, kebanyakan kami di sini masih di rumah tetapi oleh kerana kanak-kanak berteriakan dari tempat karam itu, kami dengar juga dari rumah.
“Selepas itu, kami bergegas ke tempat kejadian dan apabila kami sampai, kanak-kanak itu semua masih lagi dalam keadaan terapung.
“Keadaan memang kelam kabut. Nasib baik ada saudara kita yang nampak, yang datang menyelamat. Kalau tidak, memang akan berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Dalam pada itu, individu menyelamatkan murid-murid berkenaan, Hamzah Sahi berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke kampung.
“Semasa pulang, saya terserempak dengan bot budak sekolah. Saya tengok, memang nampak lain, sebab ia sudah mahu karam.
“Saya perlahankan bot tidak lama selepas itu. Ia tenggelam. Dan saya pun bergegas selamatkan budak-budak berkenaan.
“Saya ambil budak-budak yang hanyut jauh terlebih dahulu, saya minta mereka berpaut pada bot saya,” katanya.
Katanya, keadaan menakutkan apabila seorang murid tersangkut kaki pada pukat dan seorang lagi sudah dalam keadaan tercungap-cungap namun semuanya berjaya diselamatkan.
Difahamkan, menjadi rutin semua murid di kawasan itu untuk menaiki bot pergi ke sekolah.
Namun, sejak kejadian, semua murid berkenaan masih takut untuk ke sekolah sehingga hari ini.