Lebih 20 juta guna MRT Sungai Buloh-Kajang sejak 16 Dis 2016

Bernama
Disember 16, 2017 05:00 MYT
Lebih 20 juta pengguna menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang sejak ia mula beroperasi tahun lalu. - Gambar fail Bernama
Lebih 20 juta pengguna telah menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang sejak ia mula beroperasi 16 Dis tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata hasil maklum balas orang awam termasuk di media sosial menunjukkan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan pengangkutan awam itu dalam melancarkan pergerakan mereka.
"Apa yang penting ialah melihat peningkatan trend positif dalam penggunaannya ... ia juga bukti bahawa pelaburan kerajaan dalam pengangkutan awam memberikan manfaat kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Azmi dan Pengerusi Prasarana Tan Sri Khalid Abu Bakar mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan meninjau jaringan pengangkutan awam berasaskan rel termasuk MRT, Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel.
Turut berkenan berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Jajaran pertama yang dilaksanakan untuk projek MRT Lembah Klang adalah jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang dengan jarak 51km.
Fasa pertama MRT Sungai Buloh-Kajang merangkumi laluan Sungai Buloh-Semantan mula beroperasi pada 16 Dis 2016 manakala fasa kedua melibatkan laluan Semantan-Kajang beroperasi sejak 17 Julai lepas.
--BERNAMA
#Datuk Seri Azmi Abdul Aziz #Kajang #MRT #prasarana #Sungai Buloh
;