Lebih 20,000 ikuti syarahan Dr Zakir di UTeM mengenai cabaran kemanusiaan

Bernama
April 17, 2016 22:54 MYT
Dr Zakir diiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron sewaktu tiba di UTeM untuk menyampaikan ceramahnya. - Foto Bernama
Lebih 20,000 menghadiri syarahan penceramah terkenal Dr Zakir Naik di Dewan Besar, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini malam ini.
Pendakwah antarabangsa dari India itu sebelum ini mengadakan empat ceramah di Terengganu dan satu di Kuala Lumpur setelah tiba di negara ini pada 9 April lepas.
Orang ramai mula tiba di UTeM kira-kira 5 petang untuk menghadiri pelbagai majlis ilmu diadakan penganjur sebelum Dr Zakir menyampaikan syarahannya bertajuk 'Islam - Problems and Solutions to Humanity' (Islam - Masalah dan Penyelesaian terhadap Kemanusiaan) kira-kira pukul 8.30 malam.
Turut mengikuti syarahan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, anggota Dewan Negara Tan Sri Mohd Ali Rustam dan barisan exco kerajaan negeri.
Idris dalam ucapan aluannya berkata tajuk syarahan malam ini dipilih bagi melihat kepada cabaran yang dihadapi kemanusiaan melibatkan kepelbagaian bangsa dan agama.
"Dugaan yang dihadapi manusia merangkumi masalah kelaparan di beberapa bahagian dunia akibat rasuah dan pengurusan sumber yang lemah.
"Di samping penyakit yang boleh membawa maut, serta peperangan akibat perselisihan ideologi politik dan agama," katanya.
#ceramah agama #dakwah #Dr Zakir Naik #penceramah agama #Universiti Teknikal Malaysia Melaka #utem
;