Lebih 2 jam hantar lembu, kambing naik bot ke Pulau Perhentian
Sinar Harian
Jun 16, 2024 12:30 MYT
Jun 16, 2024 12:30 MYT
BESUT: Enam ekor lembu dan seekor kambing dibawa menaiki bot kargo selama lebih dua jam untuk dihantar ke Kampung Pulau Perhentian, di sini bagi menyempurnakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan pada Isnin.
Pemilik bot, Mohd Ahazar Abd Rashid, 43, berkata, haiwan berkenaan akan melalui perjalanan sejauh kira-kira 34 kilometer dari jeti di Kampung Air Tawar, Kuala Besut.
Menurutnya, penghantaran lembu korban ke pulau itu adalah pertama kali dilakukan sejak menjalankan perniagaan bot kargo bermula tahun lalu dan proses itu perlu dilakukan dengan terperinci bagi mengelak berlaku risiko sepanjang perjalanan.
"Tempoh perjalanan dengan membawa lembu korban ini dari Kuala Besut ke Pulau Perhentian dijangka mengambil masa lebih dua jam berbanding tempoh kebiasaan satu jam setengah.
"Kita perlu lebih berhati-hati bagi memastikan lembu dalam keadaan baik untuk melancarkan perjalanan dan selamat tiba di pulau berkenaan mengikut waktu ditetapkan," katanya ketika ketika ditemui pemberita di Kampung Air Tawar di sini pada Sabtu.
Mohd Ahazar berkata, sebelum ini dia hanya menyediakan perkhidmatan mengangkut barang serta peralatan membuat bangunan seperti pasir, besi dan barangan berkaitan ke pulau tersebut.
"Ini kali pertama saya menghantar haiwan yang masih hidup ke pulau itu. Sebenarnya untuk bawa muatan lembu menggunakan bot agak berisiko kerana kita risau berlaku perkara tidak diingini.
"Selain itu, keadaan cuaca juga boleh menjejaskan bot sepanjang perjalanan," katanya.
Sementara itu, pengurus ibadah korban, Mohd Kamal Ismail, 50, berkata, terdapat peningkatan permintaan untuk ibadah korban di pulau berkenaan pada tahun ini, namun hanya perlu dihadkan kepada enam ekor lembu akibat kekangan kos pengangkutan.
"Permintaan terhadap haiwan korban di Pulau Perhentian semakin meningkat setiap tahun disebabkan tahap kesedaran dalam kalangan penduduk di sana juga semakin meluas mengenai kepentingan ibadah korban.
"Jadi sebanyak enam ekor lembu dan seekor kambing dari daratan akan dibawa ke Masjid Ar-Rahman di sana untuk kita lakukan ibadah korban," katanya.
Mohd Kamal memberitahu, sebelum ini pihak masjid di Pulau Perhentian ada meminta beliau untuk menguruskan proses mencari lembu bagi ibadah korban pada tahun ini.
Katanya, proses pembelian lembu dijalankan secara berperingkat sejak dua bulan lalu.
"Lembu-lembu ini kita peroleh daripada pembekal sekitar Tumpat, Rantau Panjang, Pasir Mas, Peringat serta Wakaf Bharu di Kelantan.
"Lembu-lembu ini dibeli bersama 14 ekor lagi lembu lain pada harga antara RM4,500 hingga RM6,000," katanya yang telah empat tahun berpengalaman mengendalikan urusan pembelian haiwan korban. -Sinar Harian