Lebih 2.63 bilion sertai Quran Hour dari 2015 hingga 2021
Astro Awani
April 15, 2022 16:01 MYT
April 15, 2022 16:01 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 2.63 bilion peserta menyertai program Quran Hour sejak ia dimulakan pada 2015 hingga tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff.
Menurutnya, program tersebut mendapat jumlah peserta tertinggi pada tahun 2019 apabila merekodkan jumlah 1.46 bilion peserta.
Jumlah paling rendah pula direkodkan pada tahun lepas dengan 152,000 peserta, jauh berkurang kerana pandemik dan pengiraan peserta yang tidak dapat dilakukan dengan sempurna.
“Tahun lepas, kita dah berjaya naik semula tapi tetap kita buat secara dalam talian.
“Jadi, jumlah daripada tahun 2015 ketika kita mula-mula anjurkan Quran Hour, kalau mengikut statistik, dari tahun kita bermula sehingga tahun lepas, jumlahnya adalah 2.63 bilion.
“Tahun ini adalah tahun ketujuh untuk World Quran Hour dan untuk Malaysia Quran Hour pula, ia adalah tahun kelapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Sinergi Media Malaysia Secara Online Sempena World #QURANHOUR 1443H/2022 : “Dunia Bersujud” pada Jumaat.
Tambah beliau, World Quran Hour pada tahun ini akan diadakan pada 24 Ramadan bersamaan 26 April ini dan lokasi perdana adalah di studio TV Al-Hijrah.
Jelasnya, tahun lepas program di studio tersebut diadakan tanpa kehadiran peserta namun pada tahun ini, Marhaini berkata situasinya mungkin berbeza.
“Lokasi lain juga ada di seluruh Malaysia, ada juga di luar negara dan Mekah serta Madinah.
“Setakat ini ada enam negara terlibat dan kita masih tunggu lagi penyertaan dari negara lain,” ujarnya.
Selain program tersebut, WUIF juga merancang untuk menganjurkan Malaysia Quran Hour pada 30 Ogos nanti dan World Quran Convention pada 17 dan 18 Disember 2022.