Lebih 2,000 pegawai keselamatan, penyelenggaraan KTMB kawal kelancaran perjalanan

Bernama
Julai 2, 2016 00:08 MYT
Jumlah tersebut ditingkatkan berbanding hari biasa bagi memastikan keselamatan penumpang dan kualiti perkhidmatan berada dalam keadaan baik. - Gambar fail
Sebanyak 2,100 pegawai keselamatan dan penyelenggaraan perkhidmatan KTM komuter, Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar akan mengawal kelancaran perjalanan tren sempena Aidilfitri ini.
Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Lt. Kol. Datuk Sarbini Tijan berkata jumlah tersebut ditingkatkan berbanding hari biasa bagi memastikan keselamatan penumpang dan kualiti perkhidmatan berada dalam keadaan baik.
"Seramai 600 pegawai keselamatan dan 1,500 pegawai penyelenggaraan ditugaskan di semua stesen KTM di seluruh negara dari 27 Jun hingga 17 Julai ini dalam memastikan tiada individu yang mengambil kesempatan atau mewujudkan laku musnah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan kira-kira 1,000 pek cenderahati Hari Raya kepada para penumpang perkhidmatan KTM komuter, ETS dan KTM Antarabandar di KL Sentral, di sini yang mula pulang ke kampung halaman bermula Jumaat.
Dalam pada itu, Sarbini berkata bermula Jumaat, jadual waktu perkhidmatan KTM komuter di sektor utara melibatkan laluan Butterworth ke Gurun dipanjangkan sehingga ke stesen Padang Besar.
"Selain itu, kekerapan tren juga ditingkatkan kepada setiap 60 minit bagi laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth berbanding kekerapan dua hingga tiga jam sebelum ini.
"Perubahan kekerapan ini menjadikan jumlah perkhidmatan kepada 28 perkhidmatan sehari berbanding 14 perkhidmatan sedia ada bagi laluan yang sama," katanya.
Tambahnya, perubahan jadual waktu ini adalah bagi memberikan keselesaan kepada penumpang setelah mengambil kira maklum balas daripada pengguna KTM komuter di sektor utara.
#ETS #KTM Antarabandar #KTM Komuter