Lebih 2,000 meriahkan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Melaka

Bernama
Ogos 5, 2023 05:45 MYT
Sambutan yang berlangsung di Dataran Bandaraya MBMB Ayer Keroh itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. - Foto BERNAMA
MELAKA: Lebih 2,000 pengunjung memeriahkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 peringkat negeri Melaka di sini pada Sabtu.
Sambutan yang berlangsung di Dataran Bandaraya MBMB Ayer Keroh itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Suhaimi Sulaiman dan barisan kepimpinan negeri serta pihak berkuasa tempatan.
Ab Rauf dalam ucapannya berkata Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dan solidariti dalam hati setiap rakyat Malaysia bagi mendepani apa jua cabaran.
Justeru, katanya pelbagai aktiviti dirangka dan disusun sepanjang bulan kemerdekaan ini dengan kesemuanya berpaksikan kepada satu matlamat iaitu menyemai semangat patriotisme.
"Antaranya pertandingan Sketsa Rukun Negara melibatkan pelajar sekolah menengah yang menganggotai Kelab Malaysiaku, sementara Anugerah Semarak Gemilang pula sebagai penghargaan kepada rakyat yang bersungguh-sungguh menceriakan bangunan atau kediaman dengan kibaran Jalur Gemilang," katanya.
Menurutnya penilaian akan dilakukan oleh Sekretariat Jabatan Penerangan dengan individu dan organisasi terpilih bakal menerima hadiah RM3,000.
Pelancaran malam Sabtu itu turut dimeriahkan dengan Konsert Gegau Melaka-Perpaduan Cintakan Negara melibatkan persembahan beberapa artis tanah air seperti Ramlah Ram, Marsha, Santesh dan Datuk Nash, selain dondang sayang dan deklamasi sajak.
-- BERNAMA
#pelajar sekolah menengah #Jalur Gemilang #Bulan Kebangsaan #pihak berkuasa tempatan
;