Lebih 2,000 kg kobis panjang dari Singapura dicemari kumbang Phyllotreta spp

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 21, 2024 10:30 MYT
Sebanyak 2,160 kilogram kobis panjang yang dibawa masuk dari Singapura ke negara ini menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, dikesan dicemari serangga perosak atau kumbang jenis Phyllotreta spp. - Gambar ihsan MAQIS
KOTA ISKANDAR: Sebanyak 2,160 kilogram kobis panjang yang dibawa masuk dari Singapura ke negara ini menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini, dikesan dicemari serangga perosak atau kumbang jenis Phyllotreta spp.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, serangga itu dikenal pasti apabila pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori di KSAB, kelmarin.
Menurut beliau, lori berkenaan didapati membawa pelbagai jenis sayuran termasuk 216 kotak sayur jenis kobis panjang yang bernilai keseluruhan RM6,800.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS terhadap sebuah lori yang membawa pelbagai jenis sayur-sayuran terbabit telah menemukan muatan 2,160 kilogram kobis panjang diimport bersama perosak disyaki dari jenis Phyllotreta spp yang masih hidup.
"Konsainan terbabit telah ditolak kemasukannya dan Jabatan MAQIS telah mengarahkan konsainan tersebut dihantar pulang ke negara asal," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Tegas Edie Putra, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan perosak, penyakit atau bahan cemar adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama.
Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
"Pihak MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan seterusnya memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal," jelas Edie Putra lagi.
#kobis panjang #dicemari kumbang #kumbang Phyllotreta spp #MAQIS Johor
;