Lebih 18 tan sampah dikutip sempena Mega Plogging Challenge

Bernama
Oktober 5, 2019 06:15 MYT
Raja Muda Perlis dan Noor Amin (tengah) bergambar bersama para pengunjung pameran Rejimen 504 Askar Wataniah pada Mega Plogging Challenge sempena Hari Terbuka Kuala Perlis, 5 Okt, 2019. --fotoBERNAMA
Lebih 18 tan sampah berjaya dikutip oleh penduduk di Kuala Perlis menerusi pertandingan "Mega Plogging Challenge" DUN Kuala Perlis anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kangar.
Anggota Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkata program seperti ini berjaya menggalakkan masyarakat kampung untuk sama-sama menjaga kebersihan kawasan Kuala Perlis yang menjadi destinasi pelancong sebelum ke Pulau Langkawi.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan program tersebut. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Program tersebut turut diadakan sempena Hari Terbuka Kuala Perlis yang turut disertai 16 agensi kerajaan membuat pameran yang diadakan di Padang Semarak, Seberang Ramai di sini, hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin kemudian berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang iaitu Kampung Seberang Alor yang muncul johan dengan kutipan sampah seberat 1082.9 kilogram dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan hampar.
Kampung Pulau Ketam muncul tempat kedua dengan kutipan sampah 983.8 kg dan Kampung Baru Seberang di tempat ketiga dengan kutipan sampah 767.4 kg. Pemenang tempat kedua dan ketiga membawa pulang hadiah wang tunai, masing-masing RM500 dan RM400 beserta hampar.
-- BERNAMA
#kebersihan #kerajaan #Kutip sampah #Langkawi #masyarakat kampung #Mega Plogging Challenge #Noor Amin Ahmad #Parlimen #pelancong #Perlis #Raja Muda Perlis #sampah #Tuanku Syed Faizuddin
;