Lebih 18 juta telur ayam diedarkan FAMA sejak November 2022
Bernama
Mac 21, 2023 19:44 MYT
Mac 21, 2023 19:44 MYT
KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengedarkan sebanyak 18.06 juta biji telur ayam untuk dipasarkan melalui 368 outlet peruncitannya sejak November tahun lepas hingga hari ini.
FAMA dalam satu kenyataan memaklumkan ia antara usaha agensi itu mendepani situasi kekurangan bekalan komoditi tersebut di dalam negara.
"FAMA juga telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan berbincang untuk memasarkan komoditi telur ayam ke seluruh negara," menurut kenyataan itu.
Bagi mendepani cabaran segmen keterjaminan makanan, FAMA juga sentiasa memastikan ketersediaan agromakanan atau rantaian pemasaran agromakanan hingga ke pengguna terus diperkasa.
Sehingga Februari 2023, FAMA telah membangunkan 1,568 outlet peruncitan dan 57,108 usahawan dengan mencatatkan nilai jualan RM387 juta.
"FAMA juga meningkatkan perkhidmatan dalam membantu usahawan tani memasarkan produk pertanian mereka melalui outlet peruncitannya yang berada di seluruh negara di samping membantu pengguna memastikan produk agromakanan di pasaran sentiasa mencukupi," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin turut melakukan kunjungan di ibu pejabat FAMA hari ini bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut peranan lembaga itu dalam sektor pemasaran agromakanan negara.
Dalam lawatannya Foong Hin diberikan taklimat berkenaan strategi pengoperasian danintervensi FAMA bagi komoditi sayur-sayuran, buah-buahan dan telur ke Johor yang masih dilanda banjir ketika ini.
"Ini merupakan manifestasi daripada Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang diteruskan bagi mengimbangi bekalan sayur-sayuran pasca banjir di sana melalui outlet-outlet jualan FAMA.
"JTDL Khas Pasca Banjir di Johor itu telah dianjurkan sebanyak 20 kali sejak Februari lepas dan sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan bekalan diperoleh dari Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor," katanya.
-- BERNAMA