Lebih 150 PPV, ProtectHealth pergiat vaksinasi di Johor

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 5, 2021 16:51 MYT
Klinik dan hospital yang melibatkan pengamal perubatan swasta yang telah berdaftar di bawah ProtectHealth ini berada di kawasan bandar, pekan dan juga luar bandar. - Foto ProtectHealth
KUALA LUMPUR: Lebih 150 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) klinik perubatan am swasta (GP) dan hospital swasta di Johor telah berdaftar di bawah ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
Pengurus PPV Integrasi dan Industri Johor, ProtectHealth, Dr. Muhammad Fairuz Abdullah berkata usaha masih dipergiatkan bagi memastikan kadar vaksinasi di Johor dapat dipertingkat dari semasa ke semasa.
“Klinik dan hospital yang melibatkan pengamal perubatan swasta yang telah berdaftar di bawah ProtectHealth ini berada di kawasan bandar, pekan dan juga luar bandar.
“Ini bagi memudahkan akses bagi masyarakat di kawasan tersebut untuk menerima vaksin.
“Pada masa ini, usaha berterusan telah dilakukan ProtectHealth bersama pengamal perubatan swasta dan agensi awam bagi memastikan lebih ramai lagi rakyat di negeri Johor mendapat vaksin,” katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, beliau berkata PPV Integrasi yang diperkenalkan melalui kerjasama awam swasta merupakan pendakatan yang telah berjaya meningkatkan usaha vaksinasi di Johor.
Setiap hari, ujarnya sebanyak 1,500 hingga 5,000 dos vaksin diberikan di setiap PPV dengan jumlah keseluruhan sekitar 25,000 dos sehari.
“Bagi PPV Industri pula, pada masa ini ia merangkumi sektor krtikal ekonomi, sektor pengangkutan, sektor industri pertanian dan makanan.
“Sebanyak 1,000 sehingga 1,5000 dos vaksin diberikan di enam lokasi di seluruh negeri Johor,” katanya.
#Pusat Pemberian Vaksin #PPV #vaksin #Johor #PPV di Johor #ProtectHealth #Dr Muhammad Fairuz Abdullah
;