Lebih 15,000 produk tidak berdaftar, dicemari racun dirampas di Kulim

Bernama
Mac 9, 2022 22:29 MYT
Lebih 15,000 produk farmaseutikal tidak berdaftar, produk kosmetik yang tidak bernotifikasi dan produk yang dicemari racun berjadual dirampas menerusi 'Op Putra' di Kulim, Isnin lepas. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Lebih 15,000 produk farmaseutikal tidak berdaftar, produk kosmetik yang tidak bernotifikasi dan produk yang dicemari racun berjadual dirampas menerusi 'Op Putra' di Kulim, Isnin lepas.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo berkata operasi berdasarkan aduan awam itu dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.
"Seramai 11 pegawai dan anggota CPF dan JKN Kedah telah melakukan serbuan terhadap dua stor haram dan satu premis perniagaan yang menyimpan kesemua produk berkenaan.
"Sebanyak 10,122 botol pelbagai jenis produk farmaseutikal tidak berdaftar, 4,779 botol produk yang dicemari racun berjadual dan 882 kotak produk kosmetik tidak bernotifikasi dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang dianggarkan bernilai RM324,200 telah dirampas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua produk tidak berdaftar itu dijual secara meluas dalam talian menerusi platform e-dagang.
"Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952. KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli sebarang produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian.
"Pengguna perlu memastikan produk yang dijual mempunyai pelekat keselamatan hologram dan nombor pendaftaran produk (MAL) sebelum membeli produk berkenaan. Mereka boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik di https://www/npra/gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400," katanya.
Tambahnya, sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada program perkhidmatan farmasi di www.pharmacy.gov.my atau menghubungi mana-mana cawangan penguatkuasaan farmasi di talian 03-78413200 supaya tindakan sewajarnya boleh diambil bagi membanteras penjualan produk ini.
-- BERNAMA
#produk farmaseutikal tidak berdaftar #produk kosmetik #dicemari racun #Op Putra #Kulim
;