Lebih 13,000 anggota APM sedia digerakkan hadapi banjir
Bernama
Oktober 24, 2023 17:00 MYT
Oktober 24, 2023 17:00 MYT
NILAI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia menggerakkan lebih 13,000 anggotanya dalam tempoh 24 jam ke seluruh negara bagi menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal berlaku pertengahan November ini hingga Mac tahun depan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan APM Kol (PA) Fazlisyah Muslim berkata jumlah berkenaan akan bertambah mengikut keperluan selain penglibatan sukarelawan terlatih termasuk pasukan bantuan pertahanan awam (CDA).
"Kita dah membuat persedian lebih baik daripada tahun sebelumnya termasuk koordinasi antara kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan komuniti. Kita juga ada 8,000 anggota CDA yang akan membantu APM menghadapi bencana berkenaan.
"Kita dapat maklumat lebih 5,000 hotspot banjir di seluruh negara. Orang ramai didedahkan dengan banyak maklumat, jadi diharapkan mereka lebih cakna dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan bencana alam daripada Coca-Cola Bottlers Malaysia (CCBM) di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa agensi telah melakukan latih amal dan libat urus bersama komuniti bagi melaksanakan persiapan yang lebih rapi menghadapi MTL dengan fokus adalah seluruh negara berikutan banjir mungkin berlaku di kawasan tidak terjangka kini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca, susulan jangkaan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula bulan depan hingga Feb 2024, yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.
Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia Dr Fariza Yunus berkata perubahan cuaca itu berlaku disebabkan MTL yang bermula pada pertengahan bulan depan hingga Mac 2024.
-- BERNAMA