Lebih 120,000 ekspatriat berada di Malaysia, sumbang 4.8 peratus daripada KDNK

Bernama
November 26, 2024 15:35 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 120,183 pegawai ekspatriat berada di Malaysia setakat 31 Okt lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ringkasan AI
  • Jumlah Ekspatriat di Malaysia: Sehingga 31 Oktober, terdapat 120,183 pegawai ekspatriat di Malaysia, dengan jumlah tertinggi dari China (27,460), diikuti oleh India (23,131), Filipina (9,302), Jepun (8,739), dan Indonesia (8,333).
  • Sumbangan Ekonomi: Ekspatriat menyumbang RM75 bilion kepada ekonomi Malaysia, yang bersamaan dengan 4.8% daripada KDNK. LHDN juga mengumpul RM100 juta cukai pendapatan daripada mereka.
  • Tarikan Malaysia: Kos sara hidup yang rendah, kestabilan politik, dan potensi ekonomi menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi ekspatriat, dengan Kuala Lumpur berada di kedudukan kelapan dalam Expat City Ranking 2023.

Beliau berkata daripada jumlah itu, pegawai ekspatriat tertinggi adalah dari China, iaitu 27,460 orang, India (23,131), Filipina (9,302), Jepun (8,739) dan Indonesia (8,333).
"Lain-lain negara ialah 36 peratus daripada 120,183 (pegawai ekspatriat)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai jumlah dan peratusan warga asing bertaraf nilai tinggi (ekspatriat) berhijrah ke Malaysia mengikut pecahan negara.
Saifuddin Nasution berkata berdasarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), keberadaan pegawai ekspatriat berkenaan memberikan impak ekonomi dengan menyumbang RM75 bilion menyamai 4.8 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga telah mengumpul hingga RM100 juta cukai pendapatan daripada kelompok itu.
Menurut Saifuddin Nasution, antara tarikan pegawai ekspatriat ke Malaysia adalah kerana kos sara hidup yang rendah bagi golongan itu, kestabilan politik serta potensi kerancakan ekonomi di negara ini.
Beliau berkata hal ini meletakkan Kuala Lumpur berada pada kedudukan kelapan daripada 49 bandar utama oleh Expat City Ranking 2023.
-- BERNAMA
#ekspatriat berada di Malaysia #Saifuddin Nasution #menyumbang kepada KDNK #Dewan Rakyat
;