Lebih 12 tahun pondok hentian bas jadi tempat berteduh bila musim banjir
Bernama
Disember 21, 2021 08:38 MYT
Disember 21, 2021 08:38 MYT
KUALA KRAI: Sejak lebih 12 tahun lepas, setiap kali berlakunya banjir di kawasan kediamannya, bekas peniaga mi rebus, Yah Mamat sekeluarga terpaksa memilih untuk berteduh sementara di hentian bas di Kampung Pengkalan Feri, Pasir Era di sini.
Yah, 55, berkata faktor kesihatan dan keselamatan suaminya, Mohd Sata Jaafar, 60, yang juga orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan fizikal menyebabkan beliau terpaksa membuat pilihan itu setiap kali paras air sungai berdekatan kediaman mereka mulai naik dan melimpah memasuki rumahnya.
"Bukan saya tidak mahu bawa keluarga ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi suami saya selain OKU dia juga ada masalah kesihatan penyakit asma.
"Jadi, suami saya tidak boleh berdepan dengan ramai orang seperti berada di PPS kerana dia akan cepat mengalami masalah semput sebab itu kami sekeluarga perlu akur dengan keadaannya," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pengkalan Feri, Pasir Era, di sini pada Isnin.
Bagaimanapun katanya, agensi berkaitan sering meminta beliau sekeluarga untuk berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nal kira-kira lima kilometer dari rumahnya, namun alasan itu tetap akan diberikannya kepada petugas terbabit.
"Saya bersyukur walaupun kami tidak menetap di PPS disediakan, tetapi masih ada lagi petugas-petugas dari agensi terbabit memberikan sumbangan makanan dan sebagainya kepada kami sekeluarga," katanya.
Menurut Yah, pondok berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya berada di kawasan lebih tinggi berbanding rumahnya yang berada di tebing sungai dan agak curam.
Katanya setiap kali terpaksa berteduh di pondok hentian bas itu, mereka akan memuatkan sebuah katil dan kerusi panjang, manakala dua anak mereka, Mohd Fazri, 38 dan Mohd Amirul, 29 yang kini meneruskan perniagaan mi rebus untuk menampung keperluan keluarga, tidur di bangku simen pondok berkenaan.
Katanya, pondok yang didiami mereka sekeluarga ini turut dilengkapi kelengkapan memasak dan mempunyai penghadang untuk menutup ruang pondok itu supaya tidak terlalu terbuka kepada orang yang melalui di kawasan tersebut.
"Saya, suami dan dua anak lelaki akan berada di pondok ini sehingga banjir reda kerana kami hanya akan pergi ke masjid berdekatan untuk mandi, solat dan sebagainya.
"Setiap kali banjir juga saya telah menyediakan bekalan makanan untuk dimasak," katanya sambil memberitahu jarak rumahnya dengan pondok itu kira-kira 100 meter.
-- BERNAMA