Lebih 115,000 terlibat dadah jenis sintetik setakat Sept - KDN

Hasimi Muhamad
November 20, 2024 11:30 MYT
Shamsul Anuar berkata, setakat September tahun ini, lebih 115,000 atau 70.4 peratus individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah sintetik - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Perubahan trend jenis dadah daripada organik kepada sintetik menjadi antara punca masalah penyalahgunaan bahan terlarang itu sukar dibendung di dalam negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, setakat September tahun ini, lebih 115,000 atau 70.4 peratus individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah sintetik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan dadah masih menjadi musuh nombor satu negara dengan pelbagai usaha bersama agensi terlibat sedang giat dilaksanakan untuk mengekang perkara itu.
"Antara punca yang menyebabkan masalah dadah sukar dibendung adalah sebab perubahan trend daripada jenis dadah organik kepada jenis sintetik... ini sangat mencabar.
"Kalau kita lihat statistik menunjukan penyalahgunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) adalah 115,410 orang iaitu 70.4 peratus berbanding keseluruhan jenis dadah sehingga September 2024.
"Sementara penyalahgunaan dadah jenis ganja hanya empat peratus iaitu seramai 6,750 orang," katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pada Rabu.
Shamsul Anuar menambah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melalui 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) telah menjalankan program rawatan dan pemulihan ketagihan dadah melibatkan seramai 5,790 klien.
Manakala, lebih 51,000 klien menjalankan rawatan dan pemulihan dalam komuniti di 109 buah AADK daerah.
Dalam pada itu, Shamsul Nasarah ketika menjawab soalan asal Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai kes penyalahgunaan dadah di Kedah memaklumkan berlaku peningkatan sekitar 17.3 peratus di negeri itu berbanding tahun lalu.
"Kes penyalahgunaan dadah di Kedah dari Januari hingga Ogos lalu adalah seramai 17,278 orang iaitu meningkat 17.3 peratus berbanding jumlah tangkapan keseluruhan pada tahun lalu iaitu 14,284 kes," ujarnya.
#Dewan Rakyat #Jenis dadah sintetik #Cabaran bendung dadah #Shamsul Anuar Nasara
;