Lebih 100 peratus tempat kediaman sasaran di Sabah dilawati dalam Banci Pertanian 2024

Israr Khalid
Oktober 8, 2024 23:45 MYT
Sektor pertanian di Sabah merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada KDNK negeri itu pada tahun lepas sebanyak 15.2 peratus. - Gambar Astro AWANI
SANDAKAN: Banci Pertanian 2024 yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sejak 7 Julai tempoh hari sudah hampir sampai ke penghujungnya di negeri Sabah.
Setakat 6 Oktober 2024, 105.7 peratus daripada 251,556 tempat kediaman dan 91.4 peratus daripada 2,316 pertubuhan yang berpotensi melaksanakan aktiviti pertanian di negeri itu telah dilawati.
Daripada jumlah itu, 98.5 peratus bersamaan 247,743 tempat kediaman pertanian dan 38.4 peratus bersamaan 890 pertubuhan berpotensi menjalankan aktiviti pertanian selesai dibanci.
Daerah Kinabatangan menjadi daerah dengan pencapaian operasi tertinggi pada 158.2 peratus, diikuti Lahad Datu (139.8 peratus), Pitas (126.9 peratus), Putatan (126.4 peratus), dan Kudat (124.1 peratus).
Sektor pertanian di Sabah merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri itu pada tahun lepas sebanyak 15.2 peratus, yang mana subsektor tanaman terus mendominasi dengan sumbangan sebanyak 76.0 peratus, diikuti perikanan (14.7 peratus), ternakan (6.0 peratus), serta perhutanan dan pembalakan (3.3 peratus), yang seluruhnya digerakkan oleh 410,100 orang pekerja.
Sektor pertanian memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri, terutamanya mengurangkan defisit perdagangan dan meningkatkan taraf sosioekonomi kawasan luar bandar.
Di samping itu, sektor ini juga memastikan keterjaminan makanan dan penambahbaikan tahap sara diri, seterusnya mengurangkan pergantungan negara kepada import pertanian.
Kata Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, tempoh fasa akhir ini adalah kritikal bagi memastikan pengumpulan maklumat pengusaha pertanian yang melibatkan empat subsektor utama iaitu Tanaman, Ternakan, Perikanan dan Akuakultur serta Perhutanan dan Pembalakan dapat diliputi sepenuhnya.
“Maklumat yang tepat merupakan asas kepada perancangan yang berkesan dan statistik yang lengkap dan juga terkini akan membantu kerajaan dalam merangka dasar yang lebih efektif serta memastikan pengusaha pertanian menerima manfaat yang sewajarnya.
“Oleh itu, semua pihak terutamanya pengusaha pertanian diharap memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menyediakan maklumat yang tepat dan menyeluruh.”
Sempena Program Lawatan Kerja Pesuruhjaya Banci Pertanian di Sabah pada 5 hingga 7 Oktober 2024, Mohd Uzir melawat beberapa kawasan operasi banci di Sandakan, Tongod, Telupid, Beluran dan Kinabatangan.
Antara kawasan yang dilawati termasuk Kg. Jawa 1 yang terlibat dalam aktiviti penternakan itik penelur, Kg. Sg. Luboh yang memfokuskan kepada penanaman kayu gaharu dan getah, Kg. Tinopikon di Tongod yang mengusahakan penternakan burung walit, kambing dan ayam pedaging, juga Kg. Liningkung di Telupid bagi penternakan ikan air tawar.
Lawatan turut meliputi Kg. Air dan Kg. Bukit Besi di Beluran bagi aktiviti perhutanan dan perikanan udang galah, dan Kg. Sinar Jaya di Kinabatangan bagi penanaman sacha inchi.
Banci Pertanian 2024 bertujuan mencapai hasil utama dengan membangunkan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu, yang akan memuatkan maklumat lengkap mengenai rantaian pertanian dari huluan hingga hiliran yang akan dikemaskini secara berkala.
Pangkalan data ini dijangka menjadi salah satu sumber utama bagi kerajaan dan agensi pertanian untuk merangka dasar yang lebih tepat dan berkesan bagi masa depan sektor pertanian negara.
DOSM telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.
Untuk maklumat lanjut mengenai Banci Pertanian 2024, layari https://www.myagricensus.gov.my/.
Lebih 100 peratus tempat kediaman sasaran di Sabah dilawati
#DoSM #Banci Pertanian 2024 #KDNK #katalog data
;