Lebih 100 pelajar sempat selamat diri asrama sekolah terbakar
Radhi Muslim
Julai 17, 2022 22:23 MYT
Julai 17, 2022 22:23 MYT
TONGOD: Seramai 103 pelajar dan seorang warden Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod di sini, sempat menyelamatkan diri apabila asrama sekolah itu terbakar, pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.35 pagi sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi terletak 50 kilometer dari balai.
Menurutnya, sebaik tiba pasukannya segera memulakan usaha memadamkan api.
"Pada jam 3.16 petang, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran membabitkan bilik suis tingkat satu, dua, dan beberapa katil serta tilam simpanan.
"Kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada, Ahad.
Azlan berkata, ketika kejadian pelajar berada di asrama dan segera melarikan diri ke tempat selamat sejurus kejadian.
"Barangan pelajar semua selamat namun asrama itu belum dapat digunakan kerana faktor keselamatan dan tiada bekalan elektrik.
"Ketika ini seramai 103 pelajar lelaki dan seorang warden ditempatkan di surau sekolah," katanya.
Katanya punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.