Lebih 100 NGO serah memorandum kepada Istana Negara, minta Ahmad Marzuk digantikan

Astro Awani
April 18, 2022 11:59 MYT
Engku Ahmad Fadzil bersama beberapa wakil lebih 100 buah NGO di seluruh Malaysia selepas selesai menghantar memorandum kepada Istana Negara pada Isnin. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Isnin.
Memorandum tersebut merupakan sembah hasrat daripada rakyat bagi menzahirkan sokongan padu kepada Raja-Raja Melayu termasuk mempertahankan integriti institusi agama seperti Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Jurucakap NGO tersebut, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata, memorandum itu susulan daripada kenyataan yang didakwa mengelirukan, dikeluarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
BACA: Jakim tidak boleh keluarkan kenyataan keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI - Sultan Selangor
Menurutnya, timbalan menteri itu mengeluarkan kenyataan tersebut di Dewan Negara pada 28 Mac lepas berkaitan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI ke-117 pada tahun 2020 yang dipersetujui semua Mufti.
“Justeru, lebih 100 NGO, mewakili suara rakyat marhaen yang prihatin mendesak agar Timbalan Menteri Agama digantikan.
“Ini kerana beliau telah melakukan tindakan-tindakan yang membelakangkan bidang kuasa Raja-Raja sebagai Ketua-Ketua Agama Islam sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
BACA: Dibenar amal Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani
“Beliau juga menunjukkan sikap biadab dan tidak matang serta memudaratkan pentadbiran baik dan kedaulatan undang-undang semata-mata kerana mendahulukan pendirian sempit peribadi sehingga mengelirukan orang ramai terhadap keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI yang dianggotai oleh Mufti-Mufti seluruh Malaysia,” katanya.
Engku Ahmad Fadzil berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut di hadapan Istana Negara pada Isnin.
Menurutnya, memorandum sama juga akan diserahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada hari sama.
Agama dan Politik | Pemilihan elak Islam dipolitikkan
Sultan Sharafuddin sebelum ini bertitah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan-keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.
Menurut kenyataan Istana Alam Shah pada 9 April lepas, ini kerana keputusan-keputusan tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.
Sehubungan dengan itu, Sultan Selangor bertitah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah.
#JAKIM #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Ahmad Marzuk Shaary
;