Lebih 100 jemaah umrah Malaysia, Indonesia terkandas di KLIA

Bernama
Februari 27, 2020 00:37 MYT
Sekumpulan jemaah umrah dari Kedah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini berikutan keputusan Kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah. - BERNAMA
Lebih 100 jemaah umrah Malaysia dan dari Indonesia yang transit di negara ini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini berikutan keputusan Kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan warganegara asing bagi mengekang penularan COVID-19.
Seorang jemaah dari Kedah, Mohd Fadzil Osman, 49, berkata beliau bersama 39 lagi jemaah dari Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah tiba di KLIA pada pukul 6 pagi tadi dan sepatutnya berlepas dengan pesawat Saudi Airlines pada pukul 4.40 petang.
Beliau yang turut membawa isteri Norharisah Harun, 47, berkata mereka hanya mengetahui mengenai keputusan Kerajaan Arab Saudi itu pada pukul 9 pagi.
BACA: COVID-19: Kerajaan Arab Saudi gantung sementara visa umrah
"Ketika itu kami dimaklumkan keputusan itu belum muktamad, jadi kami menunggu lagi, tetapi kira-kira pukul 1 tengah hari barulah dapat pengesahan kami tak boleh terbang.
Ada antara kami yang sudah mendaftar masuk, tetapi terpaksa keluar semula selepas dimaklumkan penerbangan batal," katanya kepada Bernama, di sini malam ini.
Mohd Fadzil berkata oleh kerana mereka datang dengan menaiki bas, mereka terpaksa menunggu sehingga pukul 1 pagi esok untuk bas berkenaan yang telah tiba di Kedah, berpatah balik ke KLIA.
Walaupun kecewa tidak dapat menunaikan umrah pada saat akhir, namun beliau menganggap rezeki belum memihak kepadanya untuk menunaikan ibadah itu.
"Ini sepatutnya pertama kali saya dan isteri menunaikan umrah, tetapi apa boleh buat, kita hanya merancang. Penerbangan cuma ditangguh sehingga pihak Arab Saudi buka semula kemasukan jemaah umrah," katanya.
Seorang lagi jemaah Rohani Abdul Rahman, 57, berharap penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi itu ditarik balik dalam masa terdekat.
"Kami sudah buat persediaan selama enam bulan untuk ibadah umrah ini, tak sangka saat akhir terpaksa dibatalkan. Memang sedih, tetapi kami reda," katanya.
Sementara itu, jemaah dari Indonesia Muhammad Jamil Arfah, 28, berkata beliau bersama 23 lagi jemaah tiba di KLIA dari Makassar pada pukul 3 petang tadi untuk transit sebentar sebelum menaiki penerbangan ke Arab Saudi.
"Penerbangan kami sepatutnya jam 9 malam tadi, tetapi dibatalkan. Ketika ini kami masih menunggu kata putus sama ada mahu pulang (ke Makassar) atau masih bisa (boleh) terbang ke Arab Saudi," katanya.
Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak COVID-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.
Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas dengan COVID-19, berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.
Wisma Putra dalam kenyataan hari turut menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan tindakan pihak berkuasa negara itu.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #COVID-19 #Indonesia #kesihatan #KLIA #Kuala Lumpur #Malaysia #pesawat #terkandas #umrah
;