Lebih 100,000 pendaftaran PADU berjaya dilakukan dalam 24 jam - DOSM
Azyyati Ahmad, Zikry Halim
Januari 3, 2024 11:10 MYT
Januari 3, 2024 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah berjaya dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam peluncurannya.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, meskipun bilangan trafik melalui laman web PADU adalah tinggi, kesemua jumlah pendaftaran yang berjaya dilakukan merangkumi pendaftaran dalam talian.
“Setakat ini, kita telah mencapai lebih 100,000 para pengguna yang berjaya mendaftar dalam sistem PADU, ini dilakukan majoritinya secara kendiri atas talian,” katanya ketika di temubual pada Rabu di AWANI Pagi.
Menurut Mohd Uzir, cabarannya ketika ini adalah bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir dalam tempoh tiga bulan pendaftaran ini dibuka.
“Antara cabaran yang kita lihat adalah bagaimana kita dapat pastikan pendaftaran dapat dilakukan semaksimum mungkin sehingga 100 peratus rakyat Malaysia,
“Dan untuk kita mencapai perkara ini adalah kita perlu berada di seluruh pelusuk negara terutama kawasan luar bandar dan jauh dari kemudahan dan fasiliti yang mempunyai ketersambungan internet,” jelasnya.
Katanya, ini telah pun dirancang pelaksanaan pengoperasiannya oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri di seluruh negara.
“Untuk makluman, seawal dilancarkan semalam, kita telah pun bersama-sama dengan Pusat Ekonomi Digital di 911 pejabat seluruh negara, 44 DOSM negeri dan daerah termasuk 27 Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara akan mengerakkan kemudahan Starlink bagi menjayakan pendaftaran ini,
“Ini kerana prinsip dan pendekatan paperless akan digunakan bagi memastikan maklumat terus masuk ke dalam sistem,” jelasnya lagi.
DOSM menyasarkan 29 juta warganegara Malaysia mendaftar di dalam sistem PADU yang dibuka bermula 2 Januari sehingga 31 Mac 2024.
Semalam, buat pertama kalinya PADU diluncurkan sebagai usaha mengintegrasikan dan menyelaraskan pelbagai pangkalan data di peringkat Kerajaan.
Kerjasama agensi berkaitan telah diperkukuh melalui Jabatan Perangkaan Malaysia, bagi memastikan akses pendaftaran dapat dicapai di seluruh negara.