Lebih 100,000 daftar perniagaan menerusi SPPP hingga April

Bernama
Jun 5, 2024 06:15 MYT
Ahmad Sabki (kiri) melawat reruai dari pelbagai agensi kerajaan selepas Perasmian Program Bimbingan Usahawan 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Perniagaan Cina pada Rabu. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan 110,004 peniaga mendaftarkan perniagaan menerusi Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) sejak ia diperkenalkan pada 2020 hingga 30 April lepas.
Pengerusinya Ahmad Sabki Yusof berkata jumlah itu terdiri daripada 53,421 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa dan 56,583 usahawan kumpulan B40.
Beliau berkata SSM memperkenalkan pelbagai insentif bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan pendaftaran, strategi perniagaan dan kaedah pemasaran digital ke arah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi landskap perniagaan di negara ini.
"Insentif terbabit antaranya menawarkan golongan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa mendaftarkan perniagaan secara percuma melalui skim SPPP yang mengecualikan fi pendaftaran dan maklumat perniagaan.
"Bermula tahun lepas SPPP telah diperluas kepada pasangan suami dan isteri usahawan B40 untuk menggalakkan mereka menjadikan perniagaan sebagai satu daripada sumber pendapatan," katanya kepada pemberita pada Program Bimbingan Usahawan 2024 (PBU24) di sini hari ini.
Ahmad Sabki berkata memiliki entiti perniagaan yang sah penting untuk memberikan keyakinan kepada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan atau produk yang ditawarkan.
"Perniagaan yang sah juga memberi manfaat untuk usahawan merebut pelbagai bantuan, malah usahawan juga berpeluang menyertai latihan keusahawanan yang disediakan oleh kerajaan atau agensi-agensi berkaitan.
"Ia juga membolehkan akaun semasa perniagaan didaftarkan dengan mudah serta memberikan kebolehan mewujudkan kontrak atau perjanjian perniagaan dengan lebih lancar," katanya.
-- BERNAMA
#Institusi Pengajian Tinggi #entiti perniagaan #PBU24 #usahawan B40
;