Lebih 10,000 pesakit masih tunggu pemindahan organ

Sinar Harian
Julai 27, 2022 07:15 MYT
Seramai 10,357 pesakit direkodkan sedang menunggu untuk mendapatkan pelbagai organ utama selepas kematian penderma. -Foto Facebook Derma Organ
SHAH ALAM: Seramai 10,357 pesakit direkodkan sedang menunggu untuk mendapatkan pelbagai organ utama selepas kematian penderma.
Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN) memaklumkan, mereka yang terlibat merupakan pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir dan telah menjalani ujian saringan bagi pembedahan transplantasi.
Mereka juga merupakan golongan yang bersedia pada bila-bila masa untuk menerima organ baharu sekiranya ada penderma selepas kematian yang bersesuaian.
"Pelbagai ujian saringan awal perlu dilengkapkan oleh bakal penerima supaya pusat transplantasi mempunyai data yang lengkap bagi suai padan dengan maklumat penderma.
"Pesakit juga akan segera dipanggil ke pusat transplantasi jika terdapat bakal penderma yang bersesuaian untuk menjalani pembedahan pemindahan organ," menurutnya dalam kenyataan di laman Facebook Derma Organ pada Rabu.
Dalam pada itu PSTN memaklumkan, ketika ini ramai pesakit mengalami tahap kesihatan merosot selain meninggal dunia ketika berada dalam senarai menunggu transplantasi ekoran tidak ramai yang mendaftar sebagai penderma.
Berdasarkan statistik PSTN, hanya 19 penderma sebenar selepas kematian direkodkan pada Januari hingga Jun tahun ini.
Justeru orang ramai disaran untuk lebih cakna mengenai kepentingan pendermaan organ demi menyelamatkan nyawa selain dapat meningkatkan kualiti hidup seseorang.
Pendaftaran sebagai pengikrar derma organ boleh dilakukan menerusi pautan https://bit.ly/ikrardermaorgan. -Sinar Harian
#Pusat Sumber Transplan Nasional #pemindahan organ #pembedahan transplantasi #ujian saringan awal
;