Lebih 1 juta individu lengkap dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam - Dr Adham

Bernama
Mei 29, 2021 19:09 MYT
Dr Adham berkata lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 138,063 dos diikuti Sarawak (96,450), Kuala Lumpur (94,397), Perak (90,882) dan Johor (88,240).- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 di negara ini telah melebihi 1 juta orang iaitu 1,014,342 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Dr Adham menerusi akaun Twitternya hari ini berkata seramai 1,771,810 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 2,786,152 setakat semalam.
Dr Adham berkata lima negeri yang telah melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 138,063 dos diikuti Sarawak (96,450), Kuala Lumpur (94,397), Perak (90,882) dan Johor (88,240).
Setakat semalam, 48.60 peratus atau 11,788,915 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,159,392 orang.
Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.
-- BERNAMA
#vaksin #COVID-19 #petugas kesihatan #suntikan #dos pertama #dos kedua #Dr Adham #Menteri Kesihatan #PPV
;