Lebih 1,800 penerima STR, SARA disantuni dalam program penyerahan bantuan di Beaufort
Jasmine Abu Bakar
Ogos 6, 2023 18:00 MYT
Ogos 6, 2023 18:00 MYT
BEAUFORT: Bagi memastikan penduduk di pedalaman Sabah tidak terlepas menikmati Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah, kerajaan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mengambil inisiatif menyantuni 1,833 penerima yang tidak mempunyai akaun bank bagi menunaikan tuntutan bantuan berkenaan.
Para penerima yang terdiri daripada golongan petani, peniaga kecil, warga emas serta golongan belia ketika ditemui kru Astro AWANI di Dewan Datuk Seri Panglima DUN Banir, Beaufort menzahirkan rasa syukur di atas sumbangan itu yang sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan sara hidup mereka seharian.
Bagi Benedick Matjunih yang merupakan seorang petani yang tiada pendapatan tetap, dia berterima kasih kerana bantuan ini dia dapat sekurang-kurangnya membeli barang keperluan dapur buat keluarga di rumah.
"Macam kami ni tiada pendapatan yang mencukupi sehari-hari untuk keluarga. Kita pun tahu sekarang ini keadaan kehidupan hari-hari ini berbelanja sangat mahal, jadi dapat bantuan seperti ini saya rasa mencukupi sedikitlah.
"Mencukupilah untuk beli keperluan seharian seperti beras, tepung, minyak, terutama gula dan garam. Berdasarkan pendapatan kami setakat ini, tanpa bantuan ini, ada kesulitan," katanya.
Peniaga makanan, Mirza Malik yang juga ibu tunggal terkejut kerana menyangka pada awalnya tidak menerima bantuan ini.
"STR tu memudahkan perbelanjaan untuk anak sekolah, beli barang dapur. Saya sebagai seorang ibu tunggal saya ingat tidak dapat sudah. Tapi dapat surat, okey dapat.
"Alhamdulillah, syukur. Bolehlah untuk menampung perbelanjaan anak dan saya sendirilah sebagai ibu tunggal," katanya.
Bagi golongan belia seperti Raymond dan Amirul, bantuan STR diterima dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan seharian seperti barangan dapur, makanan, dan peralatan mandian.
Selain meletakkan harapan agar bantuan itu diteruskan kerajaan dari semasa ke semasa, mereka turut memohon agar nilai bantuan ditambah berdasarkan cabaran ekonomi yang perlu dihadapi oleh generasi muda pada masa kini.
"STR ni bagi saya sangat membantulah untuk golongan belia. Sebab belia pun ada juga yang mahu pakai duit belanja untuk keperluan harian.
"Kalau untuk saya, keperluan harian macam makanan, barang-barang dapur, barang mandian, dengan barang untuk belia di rumah," kata Raymond Wong Kah Seng yang merupakan pekerja restoran.
Manakala, Mohd Amirul Ashraf Mohamad yang merupakan peniaga makanan berpendapat bantuan untuk rakyat seperti ini wajar diteruskan di masa akan datang.
"Sumbangan STR patut diteruskan di masa hadapan. Jumlah tu okey tapi lebih baik ditambahkan lagi supaya (dapat membantu) golongan remaja yang sukar beroleh peluang pekerjaan.
"Jadi dengan sumbangan STR ni dapat membantu golongan remaja untuk menyara hidup," katanya.
Untuk rekod, program penyerahan STR dan SARA di pedalaman Sabah bagi penerima tanpa akaun bank turut dilaksanakan di daerah Tamparuli, Telupid, dan Ranau.
Program yang bermula 3 Ogos di daerah Tuaran itu akan berakhir pada 28 Oktober di Long Pasia.
Untuk info, Kerajaan telah memperuntukkan hampir RM8 bilion kepada sembilan juta penerima STR dalam usaha meringankan beban hidup rakyat.
Sementara itu, SARA yang dilancarkan pada 17 Julai lepas dijangka memanfaatkan lebih 210,000 penerima di bawah kategori miskin tegar.