Lebih 1.7 juta pekerja asing, beza gaji RM800 dengan bakat tempatan
Harits Asyraf Hasnan
November 8, 2017 16:27 MYT
November 8, 2017 16:27 MYT
Lebih 1.7 juta pekerja asing berdaftar direkodkan bekerja di negara ini sehingga 30 September 2017.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kebanyakan pekerja asing itu memenuhi sektor pekerjaan 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar.
Menurut Ismail, berdasarkan gaji median, dianggarkan perbezaan gaji di antara pekerja tempatan dengan pekerja bukan warganegara ialah RM800.
"Negara kita masih perlu tenaga pekerja asing untuk pekerjaan 3D, yang tidak diminati pekerja tempatan.
"Menurut statistik Penyiasatan Gaji dan Upah 2016 yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia, gaji median bagi pekerja warganegara Malaysia pada tahun 2016 adalah sebanyak RM2,000 manakala gaji median pekerja bukan warganegara pula adalah sebanyak RM1,200," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Makin @ Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang meminta Kementerian Sumber Manusia menyatakan berapa ramaikah pekerja asing yang berdaftar dan bekerja di negara ini mengikut pecahan negara asal mereka, dan berapa jumlah anggaran bayaran gaji atau upah mereka setiap tahun.
Mengikut statistik JIM, pekerja asing warga Indonesia direkodkan tertinggi iaitu 707,181 diikuti Nepal (385,320), Bangladesh (222,868), Myanmar (121,050), India (113,628), Pakistan (58,957), Filipina (55,120), Vietnam (26,387), China (17,516), Thailand (14,650), Sri Lanka (5,613), Kemboja (4,621) dan Laos (33).
Ia menjadikan keseluruhan 1,732,944 pekerja warganegara asing yang bekerja di negara ini hingga 30 September 2017.
#Bangladesh
#China
#Filipina
#India
#Ismail Abdul Muttalib
#Jabatan Imigresen Malaysia
#Jabatan Perangkaan Malaysia
#Kemboja
#laos
#Makin Marcus Mojigoh
#Myanmar
#Nepal
#Pakistan
#pekerja asing
#Penyiasatan Gaji dan Upah 2016
#Sri Lanka
#Thailand
#Vietnam