Lebih 1,500 disaman kesalahan nombor pendaftaran, lampu strob, HID - JPJ

Marlina Manaf
November 4, 2014 13:47 MYT
Operasi penguatkuasaan JPJ kurangkan kadar kematian di jalan raya
Pelancaran operasi penguatkuasaan besar-besaran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diharap dapat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad memaklumkan operasi yang bermula 1 November lalu, tertumpu kepada kesalahan melibatkan nombor pendaftaran, lampu strob dan lampu HID.
Menurut Ismail, operasi digerakkan di seluruh negara, merangkumi 104 lokasi, dengan 211 pasukan penguatkuasa dan jumlah keseluruhan lebih 1,500 anggota.
"Seramai 6,915 orang mati di atas jalan raya daripada 477,500 kemalangan yang berlaku di negara kita tahun lalu. Jadi sekarang ini kemalangan dan kematian ancaman utama di negara kita. Saya harap rakyat faham, dan beri kerjasama penuh dengan operasi kita,” kata Ismail Ismail ketika ditemui selepas meninjau Operasi Bersepadu JPJ di Plaza Tol Sungai Besi.
Mengulas lanjut, Ismail memaklumkan bagi nombor pendaftaran, lampu strob dan lampu HID, JPJ memberi tempoh sehingga 31 Oktober lalu kepada pengguna untuk menukar kepada jenis dan spesifikasi yang dibenarkan.
Bagi tempoh dua hari pertama operasi, 1,574 saman telah dikeluarkan.
Saman paling tinggi dikeluarkan di Johor dengan 356, diikuti Selangor 207, Pahang, 167, dan Terengganu 136.
Lebih 50 peratus daripada saman dikeluarkan melibatkan kesalahan nombor pendaftaran.
Spesifikasi lampu HID menggunakan gas Xenon, bukan filamen, tidak dibenarkan langsung kecuali jika perubahan dibuat kepada keseluruhan sistem pencahayaan yang diberi akreditasi Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim), dalam kes tertentu.
Bagi kesalahan lampu HID, pesalah boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih 6 bulan di bawah Seksyen 119(1) APJ 1987.
Mana-mana lampu strob atau 'beacon' berwarna juga tidak dibenarkan bagi kenderaan persendirian dan hanya dibenarkan untuk kenderaan polis, JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan ambulans.
Operasi bersepadu ini dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
#HID #JPJ #kemalangan #PDRM #SPAD