Lebih 1,400 kematian akibat kemalangan babit lori

Bernama
Disember 28, 2024 13:53 MYT
Miros memaklumkan kajian mendapati kemalangan melibatkan lori di lebuh raya lebih cenderung untuk mengakibatkan kematian berbanding jalan raya lain. - Gambar fail/ Bernama
PUTRAJAYA: Sebanyak 1,457 kematian dicatatkan dalam 3,500 kemalangan membabitkan lori di seluruh negara sejak Januari 2019 hingga November lepas, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Beliau berkata jumlah kematian tertinggi direkodkan pada 2019 iaitu 274 kematian, diikuti 2024 dengan 260 kematian, 2023 (235 kematian), 2022 (232 kematian), 2021 (230 kematian) dan 2020 (226 kematian) manakala 473 kecederaan parah dan 1,076 kecederaan ringan dilaporkan dalam tempoh tersebut.
Bagi kemalangan melibatkan bas pula, 548 kes direkodkan bagi tempoh sama dengan 153 kematian, 120 kecederaan parah dan 218 kecederaan ringan dicatatkan.
"Polis akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan khususnya lori dan bas dalam usaha mengurangkan jumlah kematian yang membimbangkan yang direkodkan," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Mohd Yusri berkata polis akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan syarikat konsesi lebuh raya bagi tujuan itu, selain berharap pemilik, syarikat dan pemandu kenderaan perdagangan bekerjasama memastikan keselamatan kenderaan mereka.
Sementara itu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam kenyataan memaklumkan kajian mereka mendapati kemalangan melibatkan lori di lebuh raya lebih cenderung untuk mengakibatkan kematian berbanding jalan raya lain seperti jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran.
"Ini mungkin disebabkan oleh kelajuan kenderaan yang lebih tinggi di lebuh raya. Selain itu, lori dengan berat muatan apabila berada pada kelajuan yang lebih tinggi akan mencipta momentum yang besar sekiranya terlibat nahas jalan raya.
"Kajian sama juga menunjukkan risiko kematian bagi nahas melibatkan lori adalah tinggi jika ia berlaku di selekoh, berbanding geometri jalan yang lain. Selain itu, risiko kematian bagi pengguna kenderaan lain kecuali bas adalah lebih tinggi apabila terlibat dalam nahas melibatkan lori," menurut kenyataan itu.
Miros juga berpandangan kemalangan yang disebabkan tayar tercabut boleh berpunca daripada kualiti pembuatan dan pengeluaran komponen kenderaan yang rendah, amalan penyelenggaraan yang tidak baik serta pemunggahan muatan melebihi had berat sepatutnya.
Miros juga mengingatkan pemilik semua jenis kenderaan untuk memastikan tahap kebolehgunaannya (roadworthiness) kenderaaan mereka pada setiap masa.
-- BERNAMA
#kemalangan maut #kemalangan lori #angka kematian #statistik
;