Lebih 1.3 juta murid akses DELIMa setakat 10 Julai lepas - KPM

Bernama
Julai 18, 2024 06:34 MYT
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sebanyak 401,619 guru didapati telah mengakses pelantar DELIMa ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Lebih 1.3 juta murid telah mengakses pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) bagi pembelajaran dalam talian secara aktif, setakat 10 Julai lepas.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sebanyak 401,619 guru didapati telah mengakses pelantar DELIMa ini.
Beliau berkata setakat ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai 5.3 juta ID pengguna DELIMa dalam kalangan guru dan murid.
"KPM telah memuat naik sebanyak 788 buku teks sekolah rendah dan buku teks sekolah menengah. Daripada jumlah itu sebanyak 580 buah buku telah diindekskan bagi memudahkan carian. Pelantar DELIMa turut menyediakan 12,762 video pendidikan untuk kegunaan guru dan murid.
"KPM turut menggalakkan perkongsian video PdP (pengajaran dan pembelajaran) serta video amalan terbaik hasil daya usaha dan kreativiti guru melalui Ruang Ilmu di dalam DELIMa dan terdapat sebanyak 6,570 bahan digital telah disumbangkan oleh 1,863 orang guru," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai usaha mengoptimumkan penggunaan teknologi digital menerusi portal DELIMa oleh guru dan pelajar serta persediaan kementerian memberi pendedahan tentang teknologi buatan (AI) melalui portal terbabit.
Menurut Wong, teknologi AI berpotensi meningkatkan pemahaman murid serta menyediakan pengalaman pembelajaran berdasarkan keperluan individu.
Sehingga kini, sebanyak 16 aplikasi berkaitan AI telah disediakan dalam pelantar DELIMa dan daripada jumlah itu sebanyak sembilan aplikasi AI seperti Gemini, ChatGPT, Bing AI, dan Conker AI berperanan membantu guru merancang pengajaran.
"Untuk guru, menerusi pelantar DELIMa, guru-guru juga menggunakan sumber pendidikan berasaskan AI dengan rakan-rakan strategik iaitu dengan Microsoft (Microsoft Education AI Toolkit) , dengan Google (Gemini AI Academy) dan dengan Intel (Intel AI for Youth)," katanya.
Wong berkata KPM juga giat melaksanakan aktiviti bengkel dalam talian dan pertandingan berkaitan penggunaan teknologi digital yang mengintegrasikan teknologi AI menerusi Program Pemerkasaan Pendidikan Digital Murid.
Sebanyak lapan aktiviti sedang dilaksanakan sepanjang 2024 termasuk Imagine Cup Junior, Digital Storytelling Animation, dan Minecraft Education Challenge, katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #Digital Educational Learning Initiative Malaysia #DELIMa #Wong Kah Woh #Dewan Rakyat #Parlimen