Lebih 1,200 peserta meriahkan program larian Rimba Kita

Faida Rahim
September 24, 2023 09:30 MYT
Euan (belakang) bergambar bersama pemenang kategori terbuka lelaki pada acara penyampaian hadiah program larian Rimba Kita di Taman Wetland Putrajaya hari ini. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Program larian Rimba Kita berlangsung dengan jayanya hari ini, menyaksikan Taman Wetland Putrajaya dibanjiri lebih 1,200 peserta sejak jam 6 pagi.
Program anjuran Astro Malaysia Holdings Bhd dan World Wildlife Fund (WWF) Malaysia yang bersifat santai itu dihadiri peserta dari pelbagai peringkat usia.
Larian bermula tepat jam 7.30 pagi dengan sesi memanaskan badan berlangsung selama 30 minit.
Acara pada hari hujung minggu itu diadakan sebagai inisiatif memelihara dan memulihara kawasan hijau menerusi kempen Rimba Kita.
Ia juga antara usaha memupuk gaya hidup yang seimbang antara kerjaya dan kehidupan yang sihat.
Kategori yang dipertandingkan adalah terbuka lelaki, wanita, veteran, fun run (larian santai) dan kanak-kanak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings Euan Daryl Smith yang turut menyertai larian berkata, beliau berbesar hati melihat kehadiran peserta pada hari ini.
Katanya, ia menunjukkan terdapat peningkatan dari segi kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
"Amat menakjubkan melihat betapa ramai orang hadir pada hari ini. Bukan sahaja pasukan Astro, tetapi semua orang dari sekitar Kuala Lumpur.
"Ia sesuatu yang istimewa kerana ini adalah larian amal yang penting, yang kami lakukan semuanya demi untuk menyelamatkan dan memelihara hutan.
"Hutan adalah paru-paru planet. Tanpa mereka tiadalah kita. Jadi, saya fikir, ini adalah bukti bahawa orang ramai mula sedar betapa pentingnya untuk mengambil tahu tentang perubahan iklim dunia," katanya.
Terdahulu, Astro menjalinkan kerjasama dengan beberapa organisasi termasuk Taman Wetland Putrajaya, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei serta Babel, dalam melaksanakan perubahan positif ke arah advokasi alam sekitar.
Tamat larian, acara penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Euan.
Salah seorang pemenang yang ditemui, dikenali sebagai Edwin, dari Kenya, memenangi kategori terbuka lelaki 5km.
"Saya baru sahaja sebulan berada di Kuala Lumpur dan acara larian ini menarik perhatian saya memandangkan saya memang seorang pelari aktif di negara kelahiran saya.
"Apabila diumumkan sebagai pemenang, sudah tentu saya gembira,” katanya.
#Rimba Kita #larian #Taman Wetland Putrajaya #Kempen Hijau
;